Sejuta buku tulis kitar semula buat 100,000 murid B40

Azman tengah bergambar bersama murid Sekolah Kebangsaan Taman Seri Pagi pada tinjauan hari pertama sesi persekolahan 2025.
Azman tengah bergambar bersama murid Sekolah Kebangsaan Taman Seri Pagi pada tinjauan hari pertama sesi persekolahan 2025.
A
A
A

SEREMBAN - Sebanyak sejuta buku tulis diperbuat daripada kertas kitar semula yang diedarkan ke 2,060 sekolah mampu memberi manfaat kepada 100,000 murid B40.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kota Buku, Hasri Hasan berkata, buku-buku tersebut diedarkan di sekolah sekitar Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.

"Sekolah terpilih akan menerima satu kotak mengandungi 400 buku tulis yang akan diedarkan kepada 40 murid miskin tegar.

"Selain membantu pelajar memerlukan, inisiatif melalui kertas kitar semula ini juga dapat menjimatkan kos selain menjaga alam sekitar," katanya pada perasmian Majlis Penyerahan Bantuan Satu Juta Buku Tulis Kitar Semula di Sekolah Kebangsaan Seri Pagi di sini pada Isnin.

Majlis disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Azman Adnan.

Azman (tiga dari kanan) pada perasmian Bantuan Satu Juta Buku Tulis Kitar Semula di Sekolah Kebangsaan Seri Pagi di Seremban pada Isnin.
Azman (tiga dari kanan) pada perasmian Bantuan Satu Juta Buku Tulis Kitar Semula di Sekolah Kebangsaan Seri Pagi di Seremban pada Isnin.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Khalidah Omar serta Pengarah MBKM, Mohd Khair Ngadiron.

Katanya, sumbangan merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) berteraskan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang dijalankan bersama Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dan rakan strategik utama, CP Integrated.

Artikel Berkaitan:

"Sebanyak 18 syarikat termasuk satu dari Thailand telah memberi sumbangan kepada program itu membabitkan nilai keseluruhan RM650,000.

"Susulan itu pihaknya menyasarkan program itu dapat diperluas ke seluruh negara dengan serahan dua juta buku tulis kitar semula pada tahun hadapan," katanya.

Sementara itu, Mohd Khair berkata, pihaknya mengalu-alukan penyertaan syarikat korporat dan perseorangan untuk turut sama menyumbang dalam program tersebut.

Selain membantu pelajar B40, syarikat dan individu yang menyumbang dalam aktiviti tersebut juga boleh mendapat pelepasan cukai hingga 10 peratus, tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!