'Baru 30 minit keluar, rumah kedai hangus'

JELEBU - Seorang peniaga tidak menyangka kedai makannya di Kampung Chennah di sini terbakar selepas hanya 30 minit dia keluar ke Pekan Kuala Klawang pada Sabtu.
Kejadian kira-kira jam 8 malam itu berlaku semasa Norlin Ismail, 40, bersama suaminya, Normizi Abd Rahman Chong, 47, yang sudah selesai membeli barang niaga sebelum dikejutkan dengan panggilan telefon memaklumkan kedai makan miliknya terbakar.

Norlin berkata, perkara itu dimaklumkan anak bongsunya, Mohd Syawal Najmi, 17, yang datang ke kedai berkenaan untuk makan malam.
"Kebiasaannya anak-anak akan datang makan di kedai ini setiap hari dan pada hari tersebut pula dia sudah rasa panas sebaik membuka pintu kedai, namun tidak menyangka itu petanda kedai kami terbakar.
"Semua barang niaga termasuk duit dan dokumen penting hangus, tiada apa yang dapat diselamatkan," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Ahad.
Ujarnya, hanya dia bersama suami tinggal di rumah kedai tersebut manakala empat anaknya yang berusia 17 hingga 23 tahun tinggal di rumah peninggalan ibu mentuanya tidak jauh dari premis berkenaan.
"Kami menyewa di sini sejak 12 tahun lalu dengan berniaga sarapan dan makanan tengah hari yang mana setiap kali hendak keluar semua peralatan elektrik termasuk gas kami tutup," katanya yang memaklumkan ketika kejadian keadaan cuaca hujan.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jelebu, Farihan Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.39 malam dan tiba pada jam 9.05 malam ke lokasi.
"Terdapat empat daripada sembilan rumah kedai terbakar dengan tiga daripadanya dianggarkan terbakar 70 peratus dan sebuah lagi 20 peratus. Ia tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.
"Operasi ini dibantu oleh dua lagi balai bomba iaitu dari Balai Simpang Pertang dan Ampangan membabitkan keseluruhan anggota terlibat seramai 35 orang.
"Jumlah kerugian dan punca kejadian masih dalam siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
