Kilang jual sarung tangan 'reject', salah guna tanda buatan Malaysia diserbu

Antara rampasan kotak berisi sarung tangan getah yang dirampas LGM dalam serbuan di sebuah premis di Kapar, Klang pada Khamis.
Antara rampasan kotak berisi sarung tangan getah yang dirampas LGM dalam serbuan di sebuah premis di Kapar, Klang pada Khamis.
A
A
A

KLANG - Lembaga Getah Malaysia (LGM) merampas 13,000 karton sarung tangan getah ditolak (rejected glove) dan sarung tangan getah sekerap (scrap glove) bernilai kira-kira RM346,000 di sebuah premis di Kapar, di sini, Khamis lalu.

Serbuan bersepadu oleh penguatkuasa Unit Inspektorat dan Penguatkuasaan (UIP) LGM itu dijalankan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor.

Pegawai LGM melaksanakan siasatan dan pemeriksaan ke atas sebuah premis di Kapar, Klang pada Khamis.
Pegawai LGM melaksanakan siasatan dan pemeriksaan ke atas sebuah premis di Kapar, Klang pada Khamis.

LGM dalam kenyataan berkata, kilang itu dipercayai menjalankan aktiviti membeli, menyimpan dan menjual ‘rejected glove’ dan ‘scrap gloves’ tanpa permit sah daripada LGM.

"Premis ini turut menyalahgunakan tanda bungkusan dengan meletakkan tanda ‘Made in Malaysia’ (buatan Malaysia) pada kotak bagi sarung tangan getah yang tidak dihasilkan di Malaysia atau sumber import," katanya pada Ahad.

Beliau berkata, aktiviti terbabit merupakan satu kesalahan yang melanggar Peraturan 22(1)(b) dan 58 Peraturan-Peraturan Lembaga Getah Malaysia (Pelesenan dan Permit) 2014.

Katanya, jika didapati bersalah atas kedua-dua kesalahan itu, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM80,000 atau penjara tidak melebihi dua hingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Siasatan awal mendapati produk yang dirampas itu dipercayai diperoleh dari luar negara dan akan dipasarkan semula ke pasaran tempatan tanpa permit sah LGM," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambah kenyataan itu, LGM sedang giat menjalankan operasi bersepadu bagi mengawal selia keseluruhan rantaian industri getah khususnya untuk membanteras aktiviti haram premis sarung tangan getah serta penyalahgunaan tanda bungkusan ‘Buatan Malaysia’ demi menjaga imej industri getah negara.

“Orang awam dialu-alukan untuk membuat sebarang aduan berkaitan pelesenan dan penguatkuasaan dalam industri getah kepada LGM melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) LGM di https://lgm.spab.gov.my/eApps/system/index.do,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!