Salah guna wang pampasan RM455,000 penduduk rumah panjang, ketua kaum direman

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak menahan reman seorang ketua kaum disyaki menyalah guna wang pampasan berjumlah kira-kira RM455,000.
Menurut sumber, perintah reman selama lima hari sehingga Ahad telah dikeluarkan Majistret Galvin Loo Wei Ling selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Bintulu pada Rabu.
Sumber berkata, suspek lelaki berusia 50-an itu ditahan kira-kira jam 7 malam pada Selasa ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Cawangan Bintulu.
"Siasatan awal mendapati suspek yang juga seorang ketua kaum dipercayai melakukan perbuatan tersebut antara 2019 hingga 2023.
"Suspek disyaki telah menyalah guna wang pampasan yang telah diserahkan oleh sebuah syarikat pembalakan yang sepatutnya disalurkan kepada penduduk rumah panjang berhubung projek pembalakan yang dibuat di kawasan milik penduduk di situ," katanya pada Rabu.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sarawak, Hasbilah Mohamad Salleh mengesahkan penahanan tersebut dan menyatakan kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Beliau berkata, SPRM turut menyita wang tunai kira-kira RM9,500 dan satu unit telefon bimbit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!