Kilang tipu tayar celup guna tanda SIRIM

PUCHONG - Helah pengilang tayar celup pneumatik yang menggunakan penandaan standard SIRIM Berhad (SIRIM) secara haram terbongkar dalam serbuan bersepadu di beberapa daerah sekitar Selangor dan Negeri Sembilan pada Khamis.
Serbuan bermula jam 9 pagi dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Rawang, Puchong, Semenyih serta Lukut.
Operasi itu bertindak merampas 262 unit tayar celup pneumatik yang menggunakan label SIRIM serta dokumen berkaitan perniagaan dengan nilai rampasan mencecah RM80,410.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya sedang meneliti kebolehlaksanaan beberapa prosedur tambahan termasuk mewajibkan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk melabel tayar kenderaan yang menjalani pemeriksaan bagi memastikan pematuhan terhadap piawaian MS 224.
“Kita akan memperketatkan lagi pemantauan dan pengesahan tayar celup di pasaran supaya pengguna tidak mudah tertipu dengan produk yang tidak menepati spesifikasi keselamatan.
"Isu tayar dikenal pasti merupakan faktor kedua bagi kira kira-kira lapan peratus kenderaan berat yang gagal pemeriksaan di Puspakom setiap tahun daripada purata 2.8 juta pemeriksaan dilakukan, selain brek yang menjadi masalah utama," katanya kepada pemberita di lokasi serbuan di Taman Industri Meranti Permai di sini pada Khamis.
Beliau berkata, tayar dengan harga lebih murah ini berada dalam pasaran kerana permintaan daripada pemilik syarikat yang mahu mengurangkan kos operasi.
Tegasnya, JPJ mahukan kajian dan penggunaannya dipantau bagi memastikan ia benar-benar selamat digunakan.
Sementara itu, Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, serbuan tersebut adalah hasil risikan selama sebulan terhadap premis terbabit yang dipercayai mengilang dan membekalkan tayar celup tidak mengikut piawaian.
Katanya, pemeriksaan mendapati pengilang berkenaan tidak mendapat pensijilan daripada SIRIM QAS International Sdn Bhd tetapi tetap menggunakan standard MS 224 bagi melabel tayar celup mereka.
“Kegiatan ini jelas melanggar Perintah Perihal Dagangan (Penandaan Tayar Pneumatik) 2012 dan boleh mengancam keselamatan pengguna di jalan raya,” katanya.
Menurut Azman, kertas siasatan telah dibuka dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 29(2) Akta Perihal Dagangan 2011.
"Jika sabit kesalahan, syarikat yang terlibat boleh dikenakan denda maksimum RM200,000, manakala individu pula boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.
Operasi berkenaan turut melibatkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Standard Malaysia (JSM) dan SIRIM.
Dalam serbuan itu, pihak berkuasa turut mengesan beberapa pengilang yang masih menggunakan label yang telah tamat tempoh bagi mengaburi pihak berkuasa dan pengguna.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!