Jumlah pesakit kanser di Kelantan meningkat saban tahun

Abdul Rahman (dua dari kanan) diiringi Dr Zaini (kanan) dan Dr Imi Sairi (kiri) menyampaikan sumbangan kerusi roda kepada waris pesakit.
Abdul Rahman (dua dari kanan) diiringi Dr Zaini (kanan) dan Dr Imi Sairi (kiri) menyampaikan sumbangan kerusi roda kepada waris pesakit.
A
A
A

KOTA BHARU - Jumlah pesakit kanser di Kelantan terus menunjukkan peningkatan saban tahun dengan kebanyakan kes dikesan pada peringkat lewat iaitu tahap tiga dan empat, sekali gus menjadikan rawatan lebih mencabar.

Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, berdasarkan statistik terkini oleh Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia mendedahkan peningkatan kes baharu ketara iaitu sebanyak 1,616 kes pada tahun 2023 berbanding 1,468 kes 2022 manakala 1,183 kes 2021.

Menurut beliau, faktor utama peningkatan kanser di negeri ini adalah kurangnya kesedaran masyarakat untuk menjalani pemeriksaan awal selain dipercayai amalan percaya bomoh yang masih wujud.

“Di Kelantan sekitar 50 peratus kes kanser dikesan ketika sudah berada pada tahap kritikal.

“Jika penyakit dikesan lebih awal, rawatan boleh dimulakan lebih awal tetapi kesedaran saringan awal masih rendah dan menjadi cabaran besar buat kami di sektor kesihatan,” katanya ketika ditemui pada Program Sambutan Hari Kanser Sedunia 2025 peringkat negeri Kelantan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini pada Ahad.

Majlis dirasmikan oleh Timbalan Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Abdul Rahman Yunus.

Tambah Dr Zaini, antara jenis kanser paling kerap menyerang pesakit adalah kanser payudara, kanser usus, kanser serviks, kanser paru-paru dan kanser darah.

“Selain itu, gaya hidup tidak sihat, seperti pemakanan tinggi lemak, kurang bersenam, merokok dan obesiti turut menjadi punca peningkatan kes kanser.

Artikel Berkaitan:

“Pengambilan tembakau juga dikaitkan dengan peningkatan kanser paru-paru terutama dalam kalangan lelaki,” katanya.

Dr Zaini turut menekankan kepentingan sokongan moral kepada pesakit kanser.

Ujarnya, kebanyakan pesakit bukan sahaja perlu berjuang melawan penyakit tetapi juga menghadapi tekanan emosi dan kewangan yang boleh menjejaskan kualiti hidup mereka.

“Sokongan keluarga dan komuniti amat penting bagi memastikan pesakit tidak berasa keseorangan.

“Kanser bukan pengakhiran kehidupan tetapi cabaran boleh diatasi dengan kesedaran, rawatan awal dan sokongan moral yang kuat selain saringan awal secara berkala,” jelasnya.

Pada majlis tersebut, kerajaan negeri dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad dan beberapa pihak lain menyumbangkan RM25,000 kepada 150 pesakit kanser kurang berkemampuan dalam bentuk bakul makanan dan 10 kerusi roda bagi meringankan beban mereka.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Kaseh Kanser dan Kronik, Datuk Dr Imi Sairi Ab Hadi memberitahu, HRPZ II dipilih sebagai salah satu daripada tiga hospital di Malaysia bagi penubuhan Pink Ribbon Centre selain Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Sungai Petani, Kedah.

“Pusat ini diwujudkan melalui kerjasama dengan Cancer Research Malaysia sejak tahun 2024 bagi mempercepatkan proses diagnosis dan rawatan pesakit kanser payudara.

“Pusat juga memberi kemudahan kepada pesakit untuk mendapatkan pemeriksaan segera tanpa perlu membuat janji temu terlebih dahulu, pada waktu pejabat seterusnya menggurangkan tempoh menunggu giliran,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!