Tipu umrah: Polis nafi dakwaan aktivis, siasatan Seksyen 420 masih diteruskan

Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf
Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 141 laporan polis membabitkan nilai kerugian RM3.01 juta diterima melibatkan sebuah syarikat pengendali umrah kontroversi yang didakwa gagal menerbangkan jemaah, Januari lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, satu sidang media yang diadakan sebuah aktivis sebelum ini mendesak pihaknya menjalankan siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan terhadap syarikat terbabit.

Beliau berkata, semakan mendapati syarikat pengendali umrah ini berdaftar dan dilesenkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk menjalankan aktiviti umrah dari tahun 2023 sehingga Mac 2027.

"Susulan itu sebahagian laporan polis turut dirujuk kepada pihak MOTAC sebagai agensi penguat kuasa yang bertanggungjawab melaksanakan tindakan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992.

"Siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan tetap diteruskan walaupun sebahagian laporan polis ini dirujuk kepada MOTAC," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Katanya, kenyataan oleh aktivis tersebut memberi gambaran seolah-olah tiada siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dilakukan oleh PDRM.

"Kenyataan ini sama sekali tidak benar, tidak bertanggungjawab dan memberikan persepsi buruk terhadap pihak polis.

"Perlu diketahui bahawa undang-undang negara ini memperuntukkan kuasa siasatan berbeza kepada agensi penguat kuasa yang berlainan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kesalahan yang termaktub dalam undang-undang tertentu hendaklah disiasat oleh agensi dipertanggungjawabkan agar tindakan yang lebih tepat serta sesuai dapat dilaksanakan.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan pasangan berusia 31 tahun yang merupakan pemilik dan pengarah urusan syarikat pengendali umrah ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) kira-kira jam 7 petang di Kuala Lumpur, Januari lalu.

Terdahulu pada Januari lalu, kecoh di media sosial apabila kira-kira lebih 300 jemaah umrah terkandas apabila mereka dijanjikan untuk diterbangkan ke tanah suci namun ditunda syarikat pengendali umrah.

Berikutan itu, Pengarah Urusan syarikat umrah terbabit kemudiannya membuat permohonan maaf secara terbuka berikutan insiden itu dan menawarkan tiga penyelesaian termasuk pemulangan 100 peratus pengembalian wang jemaah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!