Peguam desak PDRM siasat pengendali umrah kontroversi bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan

PUTRAJAYA - Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pejabat Peguam Negara didesak menyiasat serta mengambil tindakan terhadap agensi pengendali umrah yang didakwa gagal menguruskan penerbangan melibatkan ratusan jemaah umrah baru-baru ini mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Peguam mewakili jemaah umrah terbabit, Ena Awil berkata, tindakan mengklasifikasikan kes tersebut sebagai Rujuk Kepada Agensi Lain atau ‘Refer to Other Agency’ (ROA) tanpa tindakan lanjut tidak wajar kerana didakwa wujud unsur penipuan.
"Keputusan PDRM berkenaan tidak wajar dan mengecewakan memandangkan wujud elemen penipuan berlaku dan seharusnya disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan
“Justeru, saya mendesak PDRM dan AGC untuk membuka semula siasatan dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak terbabit mengikut Seksyen 420,” katanya dalam satu sidang media pada Sabtu.
Untuk rekod, Seksyen 420 Kanun Keseksaan memperuntuk hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan serta denda bagi kesalahan menipu dan memperdaya.
Ena yang juga Penasihat Undang-Undang dan aktivis Mind Pro Management berkata, rata-rata jemaah masih belum menerima sebarang maklum balas atau bayaran sehingga kini meskipun syarikat memberikan pelbagai janji bagi menyelesaikan isu berkenaan.
“Sejak Januari hingga ke hari ini, jumlah kerugian para jemaah dianggarkan mencecah RM6 juta dan ini belum lagi masuk ke bulan-bulan seterusnya.
“Saya sendiri telah hadir ke rumah pemilik syarikat untuk mendapatkan kepastian namun mereka masih berdiam diri. Kami hanya mahu satu penyelesaian yang adil kepada jemaah yang menjadi mangsa,” katanya.
Dalam pada itu, menurut peguam mewakili mangsa, Siti Raudah Mohd Rais senada supaya kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana jumlah mangsa terlibat kini mencecah lebih 600 orang dengan kerugian dianggarkan kira-kira RM6 juta.
“Sekiranya kes masih dalam status yang sama, pihak kami akan menghantar memorandum ke Pejabat Peguam Negara bagi membolehkan kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!