Sheila Abdul atur semula karier

NAMA Sheila Abdul pernah meledak 17 tahun lalu selepas lagu dalam album pertamanya iaitu Mungkinkah meledak di corong-corong radio.
Namun tuah tidak menyebelahi anak kelahiran Johor Bahru, Johor itu apabila hanya sebuah lagu sahaja yang meledak sehingga Sheila tergolong sebagai antara artis 'One Hit Wonder'.
Bagaimanapun penglibatan Sheila atau nama penuhnya Norsheila Abdullah dalam program Gegar Vaganza musim ke-11 (GV11) secara tidak langsung telah melonjakkan semula nama wanita berusia 37 tahun ini dalam industri seni.
Selama 12 minggu bersaing dalam GV11, Sheila telah membuktikan beliau bukan sekadar penyanyi 'One Hit Wonder' dan mempunyai bakat besar untuk dipertaruhkan.
Walaupun dilihat sebagai peserta 'underdog' pada mulanya, Sheila minggu demi minggu menunjukkan taringnya sehingga melayakkan anak didik komposer tersohor, Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan itu dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga di GV11.

Mengakui kemenangan di GV11 itu sama sekali tidak terjangka, Sheila berkata, sejak awal lagi beliau cuma mahu mencuba yang terbaik kerana mengenangkan peluang yang datang itu cuma sekali.
"Bagi saya kemenangan tempat ketiga itu dikira bonus kerana semua yang terlibat dalam GV11 kali ini cukup hebat.
"Fokus saya cuma mahu buat yang terbaik dan tidak mahu mensia-siakan sokongan dan peluang yang datang cuma sekali," ujarnya.
Sheila berkata demikian ketika ditemui sebaik berakhir program GV11 di Shah Alam baru-baru ini.
Tambah ibu kepada tiga orang cahaya mata ini, GV11 ibarat pintu dan pemacu buatnya mengatur semula kerjaya dalam industri seni.
Bahkan Sheila mengakui tidak menyangka masih ada ramai peminat yang mahukan beliau terus menyanyi selepas ini walaupun setelah lama tidak berbuat demikian.
"Pastinya saya tidak mahu berhenti di sini dan kejayaan di GV11 adalah pemacu untuk kerjaya saya sleepas ini. Perancangan itu memang ada selepas lama saya menyepi, ramai yang mahu melihat saya terus menyanyi.
"Selepas 12 minggu berada di GV11, saya pun sudah nyanyikan pelbagai genre lagu. Jadi saya akan pilih genre apa yang sesuai dengan karakter saya. Insya-ALLAH selepas raya nanti kita akan cari material yang sesuai untuk single baharu," jelasnya yang merindui momen sepanjang terlibat dengan program GV11.
Dalam masa sama, Sheila berkata, beliau merancang untuk bernaung di bawah mana-mana syarikat rakaman atau pengurusan artis bagi memastikan kesilapan sebelum ini tidak berulang. Katanya, selepas Mungkinkah, beliau pernah mencuba tampil dengan single baharu, tetapi perancangan itu tidak berjalan lancar dan akhirnya lagu berkenaan gagal mendapat tempat di hati pendengar.

"Kalau boleh saya tidak mahu ulang kesilapan lama. Bagi saya bila bernaung di bawah sesebuah syarikat, perjalanan karier lebih teratur.
"Atas sebab itu saya melihat perlunya ada pihak yang berpengalaman menguruskan karier," katanya lagi.
Sementara itu, menjawab dakwaan segelintir pihak bahawa kelab peminatnya, 'Sheilastar’ yang dilabel toksik, Sheila berkata, beliau ada berbincang mengenai perkara itu.
Bagaimanapun Sheila melihat perbuatan kelab peminatnya itu tidak lebih disebabkan terlalu sayang dan tidak mahu beliau disakiti pihak lain. "Saya tahu tentang ini, sebab ramai yang bercakap kepada saya. Saya rasa mungkin mereka terlalu sayangkan saya atau tidak sanggup melihat komen-komen negatif yang saya terima.
"Mungkin juga mereka nak ‘back up’ saya. Saya tidak salahkan mereka, cuma kalau komen itu terlalu kasar dan toksik kami akan berbincang. "Cuma kalau melebihi dari apa yang kami kawal, saya biarkan pada mereka. Masing-masing sudah dewasa, semua ada cara dan pendapat masing-masing," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!