Awie dilantik Duta Kanak-Kanak Kanser FOCCAN

GEORGE TOWN- Pengalaman pernah berdepan kanser buah pinggang mendorong penyanyi dan pelakon terkenal, Datuk Awie menerima pelantikan sebagai Duta Kanak-Kanak Kanser bagi Persatuan Kanak-Kanak Kanser (FOCCAN) bagi membantu memperjuangkan nasib golongan berkenaan.
Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman berkata, pelantikan itu bukan sekadar satu penghormatan sebaliknya amanah dan tanggungjawab kemanusiaan yang cukup besar dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap perjuangan kanak-kanak yang menghidap kanser.
Menurutnya, beliau menerima pelantikan berkenaan secara sukarela tanpa sebarang bayaran atau imbuhan kerana percaya usaha membantu golongan itu tidak seharusnya dinilai dengan wang ringgit.
“Apabila FOCCAN menyampaikan hasrat dan mengundang saya untuk bersama-sama dalam perjuangan ini, saya melihatnya sebagai satu peluang untuk melakukan sesuatu yang lebih bermakna dalam kehidupan.
“Saya menerima pelantikan ini secara terbuka dan secara sukarela, tanpa sebarang bayaran atau imbuhan,” katanya ketika berucap pada majlis pelantikannya sebagai Duta Kanak-Kanak Kanser FOCCAN," katanya ketika menyampaikan ucapan di majlis pelantikan berkenaan.
Turut hadir, isteri Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah dan Pengerusi FOCCAN, Maznah Tayib.
Awie yang akan menjalankan tugasnya sebagai Duta Kanak-Kanak Kanser FOCCAN selama tiga tahun itu turut mendedahkan pernah menghidap kanser buah pinggang dan menjalani pembedahan membuang kanser berkenaan sekitar 2021 ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana wabak Covid-19.
“Alhamdulillah, Tuhan beri saya jalan, beri saya kudrat dan kekuatan untuk melawan penyakit itu sehingga akhirnya kanser tersebut berjaya dibuang.
“Itulah sebabnya apabila dipanggil untuk memegang peranan ini, saya berasa rela hati dan rendah diri untuk bersama-sama berkongsi pengalaman dengan mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, Awie berkata, kanak-kanak yang menghidap kanser bukan sahaja memerlukan rawatan perubatan malah kasih sayang, perhatian, sokongan moral dan harapan daripada masyarakat sekeliling.
"Saya berharap dapat memanfaatkan pengaruh serta jaringan dalam industri seni untuk menggalakkan lebih ramai individu, pihak korporat dan organisasi tampil membantu FOCCAN.
“Jika kehadiran dan suara saya mampu membuatkan seorang anak itu tersenyum, memberi semangat kepada seorang ibu atau bapa atau menggerakkan seseorang untuk menghulurkan bantuan, bagi saya itu sudah cukup bermakna dan memadai,” katanya.
Beliau turut menitipkan pesanan kepada kanak-kanak yang sedang berjuang melawan kanser supaya terus kuat, tidak mudah berputus asa dan yakin bahawa mereka tidak bersendirian dalam menghadapi ujian berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

