Bolot 10 anugerah, 'Khadam' dinobat Filem Terbaik FFM35

FILEM Khadam dinobatkan sebagai Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya di sini malam ini.
Kejayaan itu melayakkan filem berkenaan menerima insentif Dana Kandungan Kreatif bernilai RM1 juta dan trofi.
Kemenangan itu sekali gus menundukkan empat lagi finalis dalam kategori sama, iaitu Mother Bhumi, Malam Terlarang, Macai dan Abah Saya Uncle Mike.
Anugerah utama itu disampaikan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dengan diiringi Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah; Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Hans Isaac serta Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.
Turut hadir, Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Arul Rajoo Durar Raj.
Selain itu, Khadam mendominasi malam pengiktirafan tersebut apabila merangkul sembilan kategori lain, menjadikan keseluruhan 10 trofi dirangkul filem berkenaan.
Pengarah filem berkenaan, Shamyl diumumkan sebagai Pengarah Terbaik manakala pelakon cilik, Zarra Zhaf memenangi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.

Khadam turut memenangi trofi dalam kategori Tatarias/Solekan Terbaik, Lagu Tema Terbaik, Skor Muzik/Asal Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Sinematografi Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Cerita Asal Terbaik dan Anugerah Khas Juri menerusi Aghniny Haque.
Sementara itu, filem Badak turut mencipta kecemerlangan apabila membawa pulang tiga trofi menerusi kategori Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik dan Anugerah Khas Juri.
Anugerah Khas Sepanjang Zaman pula diberikan kepada seniman dan seniwati legenda negara, iaitu Ahmad Yatim dan Fauziah Ahmad Daud manakala trofi Anugerah Khas Karyawan menjadi milik pengarah veteran, Panchacharam P Nalliah (Pansha).

Bertemakan 'Spektrum Sinema', setiap pemenang FFM35 menerima wang tunai RM5,000 dan trofi.
Berikut ialah senarai pemenang FFM35:
Filem Terbaik: Khadam
Pengarah Terbaik: Shamyl (Khadam)
Pengarah Harapan: Ezrie Gazali (Abah Saya Uncle Mike)
Cerita Asal Terbaik: Macai
Lakon Layar Terbaik: Khadam
Pelakon Lelaki Terbaik: Shaheizy Sam (Badak)
Pelakon Wanita Terbaik: Aida Amron (Badak)
Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Kuben Mahadevan (Macai)
Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Zarra Zhaff (Khadam)
Pelakon Lelaki Harapan: Mierul Aiman (Tarung: Unforgiven)
Pelakon Wanita Harapan: Aila Azizul (Malam Terlarang)
Pelakon Kanak-Kanak Terbaik: The Waves Will Carry Us
Anugerah Khas Juri 1: Aghniny Haque (Khadam)
Anugerah Khas Juri 2: Badak
Anugerah Khas Karyawan: Panchacharam P. Nalliah (Pansha)
Anugerah Khas Sepanjang Zaman 1: Ahmad Yatim
Anugerah Khas Sepanjang Zaman 2: Fauziah Ahmad Daud
Anugerah Khas Filem Box Office: Papazola The Movie
Aksi dan Lagak Ngeri Terbaik: Tarung: Unforgiven
Penyunting Terbaik: The Waves Will Carry Us
Sinematografi Terbaik: Khadam
Penataan Seni Terbaik: Mother Bhumi
Penataan Bunyi Terbaik: Khadam
Lagu Tema Terbaik: Khadam
Skor Muzik Asal Terbaik: Khadam
Kesan Khas Visual Terbaik: Malam Terlarang
Poster Terbaik: Blues
Rekaan Kostum/Busana Terbaik: Gayong 2
Tatarias/Solekan Terbaik: Khadam
Filem Pendek Terbaik: Salted Fish (Ikan Masin)
Dokumentari Terbaik: Cekal: Kisah Bonnie Bunyau Gustin
- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
