[VIDEO] Hidup mewah jadi tali barut sindiket dadah
KUALA LUMPUR - Kehidupan mewah seorang lelaki berperanan sebagai penghantar serta penjaga bekalan dadah dengan menerima upah sekitar RM50,000 sebulan terbongkar dalam serbuan di sebuah rumah teres di Bandar Sri Damansara pada Selasa.
Suspek dipercayai menjalankan kegiatan jenayah itu dengan dibantu dua lagi lelaki tempatan yang masing-masing menerima upah sekitar RM10,000 sebulan.
Individu yang merupakan lelaki warga tempatan itu diupah sindiket yang dipercayai membawa masuk dadah dari negara jiran menerusi utara tanah air untuk pasaran tempatan dan Indonesia selain diberikan kenderaan mewah untuk menjalankan aktiviti berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, hasil risikan dan maklumat dijalankan membawa kepada serbuan di sebuah rumah teres yang lengkap dengan kawalan keselamatan di Bandar Sri Damansara.
Beliau berkata, serbuan dijalankan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman kira-kira jam 11.20 pagi.
"Operasi berkenaan kemudiannya memberkas tiga lelaki tempatan berumur antara 41 tahun hingga 58 tahun yang berada dalam rumah terbabit.
"Pemeriksaan dijalankan dalam bilik kedua di lokasi menemui bungkusan plastik serbuk kristal disyaki syabu dan satu bungkusan berisi serbuk serta ketulan disyaki ketamin," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini pada Sabtu.

Menurutnya, pasukan serbuan kemudiannya menggunakan kunci kawalan jauh kenderaan yang dirampas daripada suspek pertama sebelum memeriksa sebuah kereta jenis Hyundai Starex di dalam kawasan pagar rumah berkenaan.
Ujar beliau, hasil pemeriksaan menemukan 10 guni putih mengandungi 250 bungkusan serbuk serta ketulan disyaki ketamin di bahagian tempat duduk penumpang belakang.
"Pemeriksaan susulan turut menemukan lagi dua guni putih berisi 30 bungkusan mengandungi ketulan serta serbuk disyaki ketamin dan 15 bungkusan mengandungi ketulan serta serbuk disyaki syabu.
"Pemeriksaan di bahagian but kereta berkenaan kemudian menemukan 13 guni putih berisi 260 bungkusan mengandungi ketulan dan serbuk disyaki syabu," katanya.
Khaw berkata, keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM23.67 juta dan nilai keseluruhan melibatkan rampasan dadah dan sitaan berjumlah RM23.8 juta.
"Serbuan merampas dadah melibatkan syabu seberat 287.27 kilogram dan ketamin seberat 289.45.
"Tindakan turut diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta)1988 merangkumi sitaan aset termasuk wang tunai bernilai RM140,500 melibatkan sebuah kereta jenis Mercedes Benz E240, BMW 523i, Honda City, wang tunai berjumlah RM23,000 dan seutas jam tangan jenama Rolex," katanya.
Beliau berkata, siasatan mendapati sindiket menjadikan rumah teres yang dilengkapi kawalan keselamatan ketat untuk dijadikan tempat penyimpanan dadah.
"Kesemua dadah ini dipercayai dibawa melalui jalan darat dari negeri jiran di utara tanah air dan dibawa masuk ke negara ini untuk pasaran tempatan serta dieksport ke Indonesia.
"Sindiket didapati gemar mengeksport dadah ke Indonesia kerana nilainya tinggi mencecah ratusan ribu ringgit bagi sekilo syabu berbanding hanya puluhan ribu ringgit di pasaran tempatan," katanya.
Tambahnya, siasatan mendapati sindiket pengedaran dadah ini aktif sejak penghujung tahun 2023.
"Semakan mendapati salah seorang suspek memiliki rekod jenayah serta saringan air kencing dijalankan mendapati kesemua suspek negatif dadah.
"Kesemua suspek kini direman tujuh hari di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan usaha mengesan rangkaian sindiket sedang dipergiatkan untuk mengheret mereka yang terlibat ke muka pengadilan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

