MB Johor pandang serius kenderaan Singapura isi petrol RON95

Isu kritikal berkaitan kawalan harga dan bekalan asas di Johor dibincangkan dalam pertemuan dengan KPDN Johor baru-baru ini. - Foto Facebook Onn Hafiz
Isu kritikal berkaitan kawalan harga dan bekalan asas di Johor dibincangkan dalam pertemuan dengan KPDN Johor baru-baru ini. - Foto Facebook Onn Hafiz
A
A
A

JOHOR BAHRU - Isu penjualan petrol bersubsidi RON95 kepada kenderaan asing yang dilaporkan masih berlaku di Johor dipandang serius oleh kerajaan negeri.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz berkata, tindakan penguatkuasaan dan pemantauan perlu ditingkatkan kerana pemberian subsidi petrol hanyalah untuk rakyat negara ini.

Jelas beliau, isu penjualan barangan kawalan tanpa lesen dan pemantauan harga semasa musim perayaan juga turut diberi perhatian serta dibincangkan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, baru-baru ini.

"Penguatkuasaan akan diperketatkan ke atas warga asing atau peniaga tanpa lesen sah yang menjual barangan seperti minyak peket, tepung dan gula.

Penjualan petrol bersubsidi RON95 kepada kenderaan asing dipandang serius kerajaan negeri. Foto Facebook Onn Hafiz
Penjualan petrol bersubsidi RON95 kepada kenderaan asing dipandang serius kerajaan negeri. Foto Facebook Onn Hafiz

"Melalui SHMMP, kerajaan negeri bersama KPDN Johor akan memastikan harga barangan asas seperti minyak masak dan tepung kekal terkawal agar tidak membebankan rakyat.

"Pemantauan secara berkala dan tindakan tegas akan diambil kepada pihak yang melanggar peraturan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Pada bulan lalu (KPDN) Johor mengesahkan menjalankan siasatan susulan tular seorang wanita yang memandu kereta dengan plat pendaftaran Singapura mengisi petrol RON95.

Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi, di sini pada 21 Januari lalu namun tindakan itu berjaya dihentikan oleh pekerja stesen minyak berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Harga runcit petrol RON95 di Malaysia pada kadar RM2.05 seliter adalah sangat rendah berbanding harga runcit petrol di negara-negara ASEAN.

Harga runcit petrol di Indonesia mencecah RM3.74 seliter, manakala Thailand (RM5.63 seliter) dan Singapura (RM9.16 seliter).

Dalam pada itu Onn Hafiz berkata, pihaknya serius dalam memastikan hak dan kebajikan Bangsa Johor sentiasa dijaga.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!