[VIDEO] KPDN siasat kereta Singapura isi RON95 di JB

A
A
A

JOHOR BAHRU-Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor menjalankan siasatan susulan tular seorang wanita yang memandu kereta dengan plat pendaftaran Singapura mengisi minyak petrol RON95.

Pengarahnya, Lilis Saslinda Pornomo berkata, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi, di sini pada 21 Januari lalu.

"Hasil siasatan awal mendapati kenderaan tersebut telah menggunakan kad untuk membuat pembayaran namun berjaya dihentikan oleh pekerja pam minyak berkenaan.

"Kita ada bukti menunjukkan wanita itu tidak sempat isi minyak RON95 tetapi hanya dapat isi tidak sampai satu liter lebih dalam seringgit sahaja sebelum dihentikan. Kemudian dia mengisi minyak RON97 yang sepatutnya untuk kenderaan plat pendaftaran asing di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sesi Walkabout Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2025 di Pasaraya Eonsave Pekan Nanas, di sini pada Sabtu.

Lilis Saslinda (tiga, kiri) pada Sesi Walkabout Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2025 di Pasaraya Eonsave Pekan Nanas, Pontian pada Sabtu.
Lilis Saslinda (tiga, kiri) pada Sesi Walkabout Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2025 di Pasaraya Eonsave Pekan Nanas, Pontian pada Sabtu.

Lilis Saslinda memberitahu, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kenderaan wanita terbabit mengisi minyak di bahagian belakang pam namun taktik itu berjaya dikesan pihak stesen minyak.

Ditanya sama ada terdapat cadangan untuk kenderaan plat pendaftaran asing menggunakan tunai berbanding kad kredit atau debit bagi mengelakkan kecurian RON95, jelasnya, masih belum ada arahan terhadap perkara tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini tiada arahan bayar tunai kepada kenderaan nombor pendaftaran asing. Namun perkara utama dalam hal ini ialah pemilik stesen minyak perlu cakna.

"Mereka kena ambil tindakan segera pastikan tiada kenderaan plat pendaftaran asing isi RON95 termasuk meletakkan kru untuk elak perkara terbabit berlaku lebih-lebih lagi ketika musim perayaan ini," ujarnya.

Tambahnya, KPDN Johor menggerakkan kira-kira 200 penguat kuasa memantau dan memastikan setiap stesen minyak serta premis mematuhi akta yang ditetapkan susulan dijangka berlaku peningkatan kemasukan warga Singapura ke Johor sempena Tahun Baharu Cina.

Tangkap layar tular seorang wanita yang mahu mengisi RON95 untuk keretanya yang bernombor pendaftaran Singapura.
Tangkap layar tular seorang wanita yang mahu mengisi RON95 untuk keretanya yang bernombor pendaftaran Singapura.

Sebelum ini tular video di media sosial selepas seorang wanita didakwa cuba mengisi minyak petrol RON95 di dalam kenderaan nombor pendaftaran Singapura di sebuah stesen minyak di Johor Bahru.

Ia mendapat pelbagai maklum balas daripada pengguna TikTok, malah ada yang berkongsi taktik sama dipercayai digunakan pengguna kenderaan dari Singapura untuk mengisi minyak RON95 bersubsidi kepada rakyat Malaysia.

Sementara itu, Lilis Saslinda berkata, KPDN Johor akan mengambil tindakan tegas kepada peniaga agar tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan sepanjang musim perayaan.

Katanya, pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2025 yang bermula 25 Januari hingga 2 Februari depan melibatkan kawalan harga terhadap 16 jenis barangan bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

"Berdasarkan rekod, sebanyak 78 kes telah dihasilkan dengan jumlah nilai kompaun RM8,600 daripada 1,875 pemeriksaan dilakukan KPDN Johor sepanjang pelaksanaan SHMMP 2024 melibatkan kesalahan Akta Kawalan Harga dan AntiPencatutan 2011," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!