ESSCOM rekod kes culik kali terakhir 5 tahun lalu

KOTA KINABALU - Kali terakhir kes penculikan direkodkan berlaku di kawasan Kawalan keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone) lima tahun lalu iaitu pada 15 Januari 2020.
Komander Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Datuk Victor Sanjos berkata, dengan rekod tersebut memperlihatkan kawalan keselamatan di ESZone semakin kukuh.
"Ini ekoran daripada strategi-strategi dan pengukuhan di tempat yang lebih terkawal dan lebih selamat.
"Selain itu, ia juga merupakan hasil kerjasama daripada masyarakat dan juga agensi-agensi yang lain.
"Jadi sebagai jenama keselamatan di kawasan Pantai Timur, ia memperlihatkan peningkatan dan pertambahan kedatangan pelancong asing dan juga dalam negara ke kawasan ini," katanya.
Beliau berkata demikian selepas kunjungan hormat terhadap Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi di sini, pada Rabu.
Katanya lagi, beliau juga mendapat makluman lebih banyak pelaburan daripada luar negara dan juga dalam negara akan tertumpu kepada kawasan Pantai Timur Sabah.
"Sebagai perancangan masa hadapan, ESSCOM bercadang untuk menggunakan teknologi dari segi kawalan sempadan seperti teknologi AI dan juga pembinaan pos-pos yang baru supaya keselamatan lebih mengukuh," katanya.
Sementara itu, dalam kunjungan sama Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM, Datuk Dr Jamaluddin Mohd Ali memaklumkan selain operasi keselamatan, ESSCOM juga memfokuskan beberapa agenda utama lain antaranya kolaborasi bersama jabatan dan agensi serta program bersama masyarakat.
"ESSCOM akan meneruskan beberapa aktiviti kemasyarakatan yang dilaksanakan pada tahun lepas dan juga beberapa program baharu antaranya Kampung Angkat Madani yang mana Kampung Inderasabah dalam DUN Apas telah dipilih untuk program ini," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
