Pelaburan besar Bank Islam dalam teknologi baharu

Noor Farilla bersama Mohd Muazzam, menunjukkan aplikasi perbankan mudah alih Be U by Bank Islam dan BIMB Mobile by Bank Islam yang menyasarkan segmen pelanggan berbeza serta dilengkapi ciri keselamatan yang dipertingkatkan demi perlindungan pengguna.
Noor Farilla bersama Mohd Muazzam, menunjukkan aplikasi perbankan mudah alih Be U by Bank Islam dan BIMB Mobile by Bank Islam yang menyasarkan segmen pelanggan berbeza serta dilengkapi ciri keselamatan yang dipertingkatkan demi perlindungan pengguna.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebagai peneraju perbankan Islam dan kewangan sosial, Bank Islam membuat pelaburan signifikan dan berhemat dalam teknologi baharu seperti pengkomputeran awan, data raya, kecerdasan buatan (AI), dan perbankan terbuka.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Datuk Mohd Muazzam Mohamed, kemajuan itu membantu Bank Islam dalam menyesuaikan diri dengan perubahan jangkaan pelanggan dan trend pasaran masa depan.

"Kami sedang memperkukuh Bank Islam dari dalam ke luar, meningkatkan perkhidmatan pelanggan serta operasi belakang tabir. Teras transformasi ini adalah komitmen kami terhadap peningkatan kemahiran dan penyesuaian semula tenaga kerja bagi menyediakan mereka dengan keupayaan serta mampu mendepani landskap industri yang pesat berkembang.

"Dengan memanfaatkan teknologi terkini, Bank Islam akan membina tenaga kerja yang berdaya tahan, mendorong inovasi dan memastikan pengalaman perbankan digital yang lancar serta cekap untuk pelanggan," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada acara Siri Bual Bicara: Membina Bank yang Bersedia untuk Masa Depan anjuran Bank Islam di ibu negara baru-baru ini.

Teknologi pemangkin pertumbuhan

Mengimbau perkembangan teknologi di Bank Islam, Mohd Muazzam berkata, langkah sulung diambil menerusi pelancaran Perbankan Mudah Alih-i Transact-at-Palm (TAP) pada tahun 2010. Ia merupakan antara sistem perbankan digital terawal di Malaysia. Kemudahan ini membolehkan pelanggan membuat transaksi perbankan tanpa Internet, sekali gus meningkatkan rangkuman kewangan dengan pasaran yang lebih meluas.

“Pada 2019, aplikasi perbankan mudah alih GO by Bank Islam dilancarkan dan mempertingkat pengalaman perbankan digital patuh Syariah. Aplikasi ini jelas menunjukkan kepentingannya semasa pandemik lalu yang menyaksikan rakyat Malaysia menerima dan memilih untuk menggunakan kaedah pembayaran secara DuitNow QR berbanding tunai.

Artikel Berkaitan:

“Menjelang akhir 2020, usaha pendigitalan menjadi antara enam tonggak utama yang menyokong strategi pertumbuhan lima tahun (LEAP25) Bank Islam,” jelas beliau sambil memberi penekanan bahawa bank itu memberi tumpuan dalam membentuk masa depan perbankan Islam agar dapat bersaing dengan penggiat industri lain.

Bank Islam memperluas perkhidmatan perbankan mudah alih dengan melancarkan GO Biz by Bank Islam pada Julai 2021 khusus untuk segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perniagaan mikro. Ia merupakan usaha yang bertepatan kerana aplikasi tersebut membantu ribuan perniagaan untuk terus bertahan dan berkembang ketika berhadapan dengan cabaran pandemik COVID-19.

“Sebagai sebahagian daripada komitmen untuk mendahulukan perbankan digital, kami memperkenalkan Be U by Bank Islam yang juga perkhidmatan platform perbankan digital natif awan pertama di Malaysia pada 2022. Ia direka untuk memenuhi keperluan meningkat generasi muda yang celik teknologi dan ekonomi gig yang sebelum ini kurang mendapat akses khidmat perbankan,” kata Mohd Muazzam.

Bank Islam mengambil langkah mempertingkat dan menjenamakan semula GO Biz kepada BIMB Biz pada 1 Mei 2024.

Ujarnya, sejak BIMB Biz dilancarkan, Bank Islam telah memperkenalkan pelbagai ciri termaju yang direka dengan mengambil kira pengalaman pengguna bagi memudahkan pengurusan kewangan perniagaan.

"Menyedari landskap teknologi yang sentiasa berkembang dan keperluan pelanggan yang berubah-ubah, kami teruja untuk memperkenalkan aplikasi perbankan mudah alih BIMB Mobile dan BIMB Web, platform perbankan digital kami yang paling maju pada 21 November 2024. Kedua-dua platform berkenaan menggantikan GO by Bank Islam dan Perbankan Internet Bank Islam," tambah beliau.

Jelas Mohd Muazzam lagi, platform baharu itu direka bentuk dengan ciri yang mengutamakan pelanggan untuk memberikan pengalaman perbankan yang lebih pantas, selamat dan mesra pengguna.

"Kami telah menggabungkan pelbagai ciri-ciri baharu yang tidak terdapat pada platform sebelumnya, termasuk reka letak yang lebih segar, nama akaun yang boleh disesuaikan, pilihan penyembunyian baki akaun dan halaman pindahan dana yang direka semula bagi transaksi yang lebih cepat," ujarnya.

Tambah beliau, keselamatan kekal menjadi keutamaan, dengan langkah perlindungan penipuan yang dipertingkatkan bagi melindungi akaun dan data pelanggan.

“Kejayaan transformasi digital kami juga merupakan hasil usaha sama dan perkongsian strategik yang bermanfaat. Kami berupaya membina infrastruktur perbankan digital yang teguh serta menawarkan produk dan perkhidmatan berteknologi yang patuh Syariah menerusi kerjasama dengan penyedia teknologi terkemuka,” katanya.

Mematuhi kawal selia dan teras perbankan Islam

Berbeza dengan institusi perbankan lain yang mempunyai rangkaian cawangan yang meluas, Bank Islam memanfaatkan teknologi bagi pertumbuhan perniagaannya menerusi pengembangan capaian dan penawaran penyelesaian bertumpukan pelanggan yang terkini.

“Sungguhpun bank-bank lain lebih pantas untuk memperkenalkan penyelesaian digital mereka, namun Bank Islam mengambil pendekatan berprinsip dan bertujuan bagi memastikan setiap langkah perjalanan kami mematuhi keperluan kawal selia. Paling utama, usaha transformasi digital kami berpegang pada asas-asas beretika kewangan Islam.

“Pendekatan yang berbeza ini bukanlah satu cabaran atau halangan bagi kami. Malah, ia boleh dilihat sebagai kekuatan Bank Islam dan membezakan bank ini daripada rakan-rakan industri lain. Bank Islam bukan sahaja berusaha untuk mengikuti perubahan semasa tetapi mengolah masa depan kewangan Islam secara berintegriti, berinovasi dan memberi impak bermanfaat,” jelas Mohd Muazzam.

Penglibatan dalam TechFin

Sejajar dengan usaha untuk memajukan lanskap kewangan digital patuh Syariah, Bank Islam melalui anak syarikat milik penuhnya, BIMB Holdings Sdn Bhd (BIMB Holdings) menjalin kerjasama strategik dengan RELDYN Tech Sdn Bhd (RELDYN) bagi menubuhkan sebuah syarikat baharu, FINODYN Sdn Bhd (FINODYN). Di bawah usaha sama ini, BIMB Holdings menguasai 40 peratus ekuiti dalam FINODYN, manakala 60 peratus lagi dipegang RELDYN.

Perkongsian ini akan beroperasi sebagai sebuah entiti kewangan teknologi (TechFin) yang menyediakan platform, perisian dan perkhidmatan teknologi kewangan terkini kepada pasaran.

FINODYN akan menerapkan model perniagaan-ke-perniagaan (B2B) yang akan memberi tumpuan kepada penyediaan platform kewangan dan perbankan termasuk penyelenggaraan, perundingan dan khidmat sokongan kepada pelbagai organisasi dan perniagaan.

Perjanjian itu telah dimeterai oleh Pengerusi BIMB Holdings, Mohamed Iran Moriff Mohd Shariff dan Ketua Pegawai Eksekutif RELDYN, JayaPrasad Rao Ethamukkala dengan disaksikan oleh Mohd Muazzam dan Pengarah RELDYN, Jaya Malar Arumugam pada acara yang sama.

Mohamed Iran Moriff mewakili BIMB Holdings dan JayaPrasad Rao bersama Mohd Muazzam (kiri) serta Jaya Malar (kanan) selesai memeterai perjanjian usaha sama strategik baru-baru ini.
Mohamed Iran Moriff mewakili BIMB Holdings dan JayaPrasad Rao bersama Mohd Muazzam (kiri) serta Jaya Malar (kanan) selesai memeterai perjanjian usaha sama strategik baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Digital Kumpulan Bank Islam, Noor Farilla Abdullah berkata, penubuhan FINODYN mencerminkan hasil kerjasama simbiotik antara BIMB Holdings dan RELDYN, yang membolehkan kekuatan kedua-dua pihak dimanfaatkan untuk memacu pertumbuhan mampan.

NOOR FARILLA
NOOR FARILLA

"Kerjasama strategik ini juga membolehkan Bank Islam memperkenalkan Perbankan Islam sebagai Perkhidmatan (iBaaS – Islamic Banking as a Service) dan memperluas penyelesaian kewangan inovatif merentasi pelbagai pasaran.

“Usaha sama ini akan dilaksanakan dalam tiga fasa strategik, yang mana fasa awal akan mengambil masa sehingga dua tahun dan memberi tumpuan kepada pembangunan produk dan infrastruktur. Ini diikuti dengan fasa jualan yang lebih agresif bagi mempercepatkan penembusan pasaran,” jelas beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!