Tambahan empat trip feri sempena Chap Goh Meh

GEORGE TOWN - Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) mengumumkan penambahan empat trip perkhidmatan feri bagi memudahkan pergerakan pengunjung sempena sambutan Chap Goh Meh yang akan berlangsung di Padang Kota pada Jumaat.
Pengerusinya, Datuk Yeoh Soon Hin berkata, langkah itu diambil susulan permohonan daripada Penang Global Tourism (PGT) yang merupakan jawatankuasa penganjur program.
Menurutnya, penambahan perjalanan feri akan melibatkan laluan antara Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU) di George Town dan Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH) di Butterworth.
“Bagi tarikh 14 Februari, dua trip tambahan akan disediakan pada jam 10.30 malam dan 11 malam. Sementara pada 15 Februari, dua lagi trip akan ditambah pada jam 12 tengah malam dan 1 pagi,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Jelas beliau, inisiatif itu diharap dapat melancarkan pergerakan pengunjung dan memastikan kelancaran program tersebut.
Tambah Soon Hin, SPPP bersama operator pelabuhan, Penang Port Sdn Bhd berharap kemudahan tambahan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pengunjung bagi menikmati acara perayaan yang telah dirancang.
Chap Goh Meh yang dikenali sebagai ‘Hari Valentine Cina’, merupakan perayaan penutup Tahun Baharu Cina dan sering disambut meriah di Pulau Pinang, khususnya di Padang Kota.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!