Dedah syarat dikenakan pemaju pembinaan KB Sentral - Azam Kelantan

Laporan Sinar Harian mengenai projek Terminal Stesen Bas Bersepadu Kota Bharu (KB Sentral).
Laporan Sinar Harian mengenai projek Terminal Stesen Bas Bersepadu Kota Bharu (KB Sentral).
A
A
A

KOTA BHARU - Pertubuhan Pemikir Azam Kelantan (Azam Kelantan) menyeru kerajaan negeri mendedahkan syarat yang dikenakan kepada pemaju dalam pembinaan Terminal Stesen Bas Bersepadu Kota Bharu (KB Sentral) bagi memastikan setiap keputusan dibuat secara terbuka demi kepentingan rakyat.

Koordinator Azam Kelantan, Adib Faisal Yaacob berkata, ketelusan dalam proses ini amat penting agar rakyat tahu siapa yang sebenarnya bertanggungjawab atas kelewatan ini.

"Kami menyambut baik ketegasan kerajaan negeri dalam meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan syarikat swasta dalam isu pembinaan Terminal KB Sentral.

"Keputusan memberi kata putus kepada pemaju menunjukkan kerajaan serius dalam memastikan projek ini tidak terus terbengkalai," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, tindakan tegas seperti ini sepatutnya diambil lebih awal dan jika pemaju gagal memenuhi syarat yang dipersetujui, kontrak seharusnya ditamatkan segera tanpa memberi ruang kepada rundingan yang berlarutan.

Ujarnya, kelewatan ini menimbulkan persoalan sama ada terdapat pihak ketiga yang cuba mempengaruhi keputusan kerajaan hingga menyebabkan projek ini tertangguh begitu lama.

Sinar Harian melaporkan, kerajaan Kelantan memberi kata dua kepada syarikat Perak Transit sama ada meneruskan projek Terminal Stesen Bas Bersepadu Kota Bharu (KB Sentral) mengikut syarat yang ditetapkan atau melepaskan tanggungjawab tersebut.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadhli Hassan menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak akan menunggu lebih lama dan bersedia mengambil alih pembinaan sekiranya pemaju berkenaan masih mahu berunding mengenai syarat tambahan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!