[VIDEO] Bakal pengantin didenda RM7,500 cabul wanita di R&R, miliki video lucah

A
A
A

SEREMBAN - Seorang bakal pengantin didenda RM7,500 di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas dua pertuduhan mencabul kehormatan wanita dan memiliki video lucah pada Isnin lalu.

Majistret, Nurul Saqinah Rosli menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Azrul Afiq Adzelan Ahmad, 25, yang membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan dibacakan.

Mahkamah menetapkan tertuduh yang berniaga minyak wangi didenda RM4,000 bagi pertuduhan mencabul kehormatan seorang wanita, jika gagal bayar boleh dipenjara tujuh bulan.

Bagi pertuduhan memiliki video lucah, tertuduh didenda RM3,500 dan sekiranya gagal melunaskannya dia boleh dipenjara enam bulan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati melakukan kekerasan jenayah kepada seorang wanita berusia 21 tahun dengan maksud mencabul kehormatannya.

Kesalahan itu dilakukan lebih kurang jam 12.15 tengah malam, 10 Februari lalu di dalam kedai serbaneka Hentian Rehat dan Rawat (R&R) arah Selatan, Nilai.

Berikutan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua dari hukuman tersebut.

Artikel Berkaitan:

Azrul Afiq Adzelan dibawa polis ketika hadir ke Mahkamah Majistret Seremban pada Khamis.
Azrul Afiq Adzelan dibawa polis ketika hadir ke Mahkamah Majistret Seremban pada Khamis.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah meraba bahagian punggung mangsa semasa berada dalam kedai serbaneka dan melarikan diri di ke tandas sebelum ditahan.

Bagi pertuduhan di bawah Sekyen 292 Kanun Keseksaan, tertuduh didapati dalam milikan tiga video lucah dalam telefon bimbit miliknya jenis iPhone 16 Pro warna hitam.

Kesalahan itu dilakukan lebih kurang 5 petang pada 10 Februari lalu di lokap Balai Polis Nilai.

Sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara tiga tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur Aqilah Syarfa Nik Zaidi memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ng Yunn Yiing memohon hukuman denda paling rendah atas alasan tertuduh yang berniaga minyak wangi bakal melangsungkan perkahwinan pada 25 Februari depan.

"Tertuduh juga menanggung ibu bapa dan tiga adik beradik lain. Dia hanya belajar setakat Tingkatan Lima dan tiada pekerjaan tetap.

"Kesalahan itu bukan disengajakan dan tertuduh telah insaf," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki ditahan di kawasan R&R Seremban arah selatan di sini atas kesalahan mencabul seorang wanita.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai menerima laporan berhubung kejadian itu sekitar 12.15 tengah malam pada Isnin lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!