Lelaki 55 tahun ditahan cabul wanita di pasar

GEORGE TOWN - Polis menahan seorang lelaki berumur 55 tahun kerana disyaki mencabul seorang wanita di Pasar Balik Pulau, di sini pada Selasa.
Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira jam 9.55 pagi dan suspek ditahan di rumahnya di Titi Teras pada jam 4 petang oleh sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Barat Daya, susulan laporan dibuat mangsa.
Sementara itu, polis Daerah Barat Daya dalam kenyataan memaklumkan berdasarkan fakta kes, pengadu (mangsa) mendakwa telah dicabul ketika berada di pasar berkenaan.
"Pengadu telah menyedari seorang lelaki telah mencabulnya dari arah belakang. Kejadian itu turut disaksikan oleh dua perempuan,” menurut kenyataan itu di Facebook malam Rabu.
Suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!