[VIDEO] 'Ika' tidak mengaku tipu RM105,380 jamin keluar Along Cham
BANGI – Seorang wanita dikenali sebagai 'Ika' mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi di sini pada Khamis atas satu pertuduhan menipu isteri Along Cham sebanyak RM105,380 dengan menjanjikan untuk menjamin keluar dan menurunkan seksyen pertuduhan dalam kes dadah yang dihadapi pelawak itu, hujung tahun lalu.
Nursyafiqah Hermansah, 28, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurdiyanah Mohd Nawawi.
Mengikut pertuduhan, ibu kepada tiga anak itu didakwa menipu Afreena Suhaimi, 33, dengan memperdayakannya bagi menjamin keluar serta menurunkan seksyen pertuduhan terhadap suaminya.

Perbuatan itu mendorong mangsa membayar wang berkenaan kepada tertuduh melalui 26 transaksi ke lima akaun berbeza, sedangkan mangsa tidak akan berbuat demikian jika tidak diperdaya.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di sebuah stesen minyak di Bangi Gateway, Seksyen 15, di sini pada jam 6.06 petang, 22 Disember 2024 hingga jam 1.24 petang, 14 Januari lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Anis Farhah Ahmad Hilmi, mencadangkan agar tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Tan Kim Kiek, merayu supaya kadar jaminan dikurangkan kerana tertuduh perlu menyara tiga anak yang berusia tiga, lima dan lapan tahun.
"Dia hanya bekerja sebagai peniaga dengan pendapatan sebanyak RM1,000, manakala suaminya yang bekerja dalam sektor peruncitan memperoleh gaji RM2,500 sebulan," katanya.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Nurdiyanah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan 21 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sebelum ini, Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin, 42, mendakwa Afreena telah menyeleweng wang sumbangan orang ramai berjumlah ratusan ribu ringgit yang sepatutnya digunakan untuk membantunya sepanjang ditahan di Penjara Sungai Buloh atas dakwaan memiliki ganja.
Bagaimanapun, Afreena membuat laporan polis, mendakwa dirinya ditipu oleh seorang individu dikenali sebagai ‘Ika’.
Susulan itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata wanita itu dan suaminya yang berusia lingkungan 20-an ditahan di kediaman mereka di Salak Tinggi, Sepang, pada jam 10 malam, 29 Januari lalu bagi membantu siasatan.
Menurutnya, berdasarkan rekod, suspek mempunyai lima kes penipuan di empat negeri, iaitu Sabah, Negeri Sembilan, Kedah dan Selangor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

