Kes tipu isteri Along Cham: Kertas siasatan dirujuk Timbalan Pendakwa Raya

SHAH ALAM - Kertas siasatan melibatkan kes penipuan RM95,180 dialami isteri kepada pelakon dan pelawak Along Cham sebelum ini telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya baru-baru ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek kini berada dalam tahanan reman di Sabah untuk siasatan berkaitan kes di sana.
"Setakat ini siasatan telah dilengkapkan dan kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.
"Suspek akan diambil semula untuk dituduh di mahkamah membabitkan kes penipuan di negeri ini selepas selesai siasatan di Sabah," katanya pada Sabtu.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan wanita yang ditahan itu dikesan mempunyai lima rekod kes penipuan di empat negeri iaitu Sabah, Negeri Sembilan, Kedah dan Selangor.
Menurut Hussein, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan sama ada wujud penglibatan pihak berkuasa berhubung dakwaan suspek wanita ini untuk membantu menurunkan seksyen tuduhan terhadap Along Cham.
Jelasnya, perkara ini masih dalam siasatan pihak polis.
Sebelum itu, media melaporkan pasangan suami isteri berusia lingkungan 20-an itu ditahan di kediaman mereka di Salak Tinggi, Sepang, pada jam 10 malam, Rabu.
Media turut melaporkan polis menerima laporan yang dibuat Afreena Suhaimi berhubung dakwaan kes penipuan berjumlah RM95,180 berkaitan kes penipuan tawaran bantuan urusan menukar seksyen hukuman di mahkamah.
Siasatan polis mendapati pada Disember lalu mangsa berjumpa dengan suspek bagi membincangkan mengenai masalah yang dihadapi suaminya (Along Cham) dan menawarkan bantuan untuk menurunkan seksyen kesalahan.
Mangsa yang bersetuju kemudian membuat bayaran berjumlah RM95,180 ke dalam dua akaun bank yang diberikan suspek, namun selepas bayaran dibuat mangsa mendapati suspek tidak menunaikan bantuan berkenaan dan tampil membuat laporan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

