Wanita didakwa tipu isteri Along Cham disambung reman

SHAH ALAM - Seorang wanita yang ditahan berhubung siasatan laporan kes penipuan RM95,180 yang dibuat isteri kepada pelakon dan pelawak Along Cham sebelum ini disambung reman sehari untuk siasatan lanjut berkaitan kes terbabit.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, suspek disambung reman bermula hari ini sehingga esok.
"Suspek sebelum ini direman empat hari manakala suaminya selama tiga hari disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
"Bagaimanapun suami suspek sudah dibebaskan dengan jaminan pada 1 Februari lalu," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Katanya, siasatan mendapati kesemua wang dimasukkan ke akaun suami isteri terbabit.
"Jadi setakat ini polis hanya membuat penahanan terhadap dua individu itu manakala 12 individu lain telah dirakam keterangan untuk bantu siasatan," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan isteri Along iaitu Afreena Suhaimi tampil membuat laporan polis terhadap seorang individu dikenali sebagai Ika atas dakwaan menipu wang berjumlah RM95,180.
Afreena dilaporkan berkata, wang itu diserahkan dengan niat untuk membantu membebaskan suaminya daripada tahanan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!