Subsidi petrol bersasar: Penjelasan kerajaan penting tangani cabaran rakyat

Mohd Syahir
Mohd Syahir
A
A
A

SHAH ALAM - Penjelasan pihak kerajaan berhubung penyasaran subsidi petrol bersasar penting bagi memastikan cabaran subsidi, inflasi dan hutang rakyat dapat ditangani dengan berkesan.

Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman, ia berikutan sehingga kini, persoalan tentang ukuran kelayakan dan kaedah pelaksanaan subsidi tersebut masih belum dimuktamadkan.

“Justeru aspek kejelasan dan kepastian kerajaan penting supaya inisiatif tersebut tidak berubah menjadi umpama pasir jerlus yang kelihatan masih jauh, tetapi sebenarnya dekat kepada negara dan rakyat

“Kerajaan pastinya telah mengenal pasti cabaran pelaksanaan subsidi petrol dan diesel secara bersasar di kawasan luar bandar yang menghadapi kekurangan infrastruktur digital, apatah lagi kerajaan berhasrat menggunakan kaedah imbasan kad pengenalan bagi penyaluran subsidi petrol RON95.

“Kajian mendalam juga pastinya telah dijalankan bagi memastikan penyasaran subsidi tidak menjejaskan kesaksamaan antara negeri dan wilayah, khususnya di kawasan yang bergantung kepada penggunaan petrol dan diesel untuk sektor-sektor utama seperti pertanian, perikanan, pengangkutan, dan keusahawanan, terbaharu rungutan pesawah padi akibat kenaikan kos diesel dan sewaan jentera,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Rabu.

Belanjawan 2025 Malaysia Madani menyaksikan kerajaan bercadang untuk melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun 2025, dengan anggaran sekitar RM12 bilion untuk 85 peratus rakyat Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan perkara itu berkata, warga asing dan 15 peratus teratas pengguna maha kaya menikmati 40 peratus subsidi petrol RON95 bernilai RM8 bilion.

Ujar Mohd Syahir, pengkelasan T15 dan B85 iaitu 15 peratus golongan atasan serta 85 golongan bawahan, sebagaimana diungkapkan Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada Oktober tahun lalu, juga masih menjadi teka-teki hingga kini.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, meskipun dikatakan 85 peratus rakyat tidak terjejas dengan pengurangan subsidi itu, namun kesan berantai akibat kenaikan kos pengeluaran dan kos bahan api, pasti akan dipindahkan.

“Akhirnya (ia pergi) kepada pengguna dalam bentuk kenaikan harga barang, makanan dan perkhidmatan, tidak kira B40 ataupun M40.

“Kejelasan dalam perkara ini, layak ataupun tidak untuk menerima subsidi sama ada petrol, diesel, elektrik, pendidikan dan kesihatan, adalah penting bagi membolehkan rakyat dapat menyusun belanjawan peribadi, keluarga dan perniagaan.

“Seterusnya menyerap segala kesan yang terhasil daripada segala peruntukan dan pemotongan yang diluluskan dalam belanjawan kerajaan,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!