Visi mengarut Trump di Asia Barat

Donald Trump. Foto AFP
Donald Trump. Foto AFP
A
A
A

ENTITI pendudukan Israel sangat kecil dan perlu diperluaskan”.

Kenyataan itu dibuat Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada minggu akhir kempen pilihan raya beliau pada tahun lalu.

Sekutunya, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengumumkan pelan A digelar sebagai ‘Asia Barat Baharu’ yang kononnya boleh dicapai selepas berjaya menghapuskan pemimpin gerakan penentangan anti-Zionis.

Pada masa sama, Trump bersedia untuk menyokong rancangan jahat peluasan wilayah diduduki di bawah rancangan itu, namun pelan A gagal di perkampungan barisan hadapan di selatan Lubnan.

Presiden ke-47 AS itu kemudiannya beralih kepada pelan B dengan mengarahkan peperangan dihentikan di selatan Beirut dan Genting Gaza atas alasan beliau tidak menyukai konflik berpanjangan sedangkan Trump percaya Tel Aviv tidak berupaya mencapai kemenangan yang didambakan mereka.

Dek kegagalan objektif perang Zionis, muncullah idea gila Trump untuk mengosongkan Gaza melalui pemindahan paksa penduduk Palestin.

Trump yakin Jordan dan Mesir yang menjadi lokasi untuk penempatan semula penduduk Palestin akan akur dengan strategi tidak masuk akal tersebut.

Visi baharu pentadbiran Trump 2.0 semata-mata demi kepentingan Tel Aviv termasuk cuba melobi Arab Saudi untuk menjalinkan hubungan diplomatik seperti dicapai dengan beberapa negara Teluk menerusi Perjanjian Abraham ketika penggal pertama pentadbiran beliau pada 2020.

Artikel Berkaitan:

Di bawah ‘cita-cita tinggi Mat Jenin’ beliau, Trump juga cuba memulihkan semula kuasa unipolar Amerika dengan memonopoli ekonomi di rantau itu termasuk mengeksploitasi sumber minyak dan pantai Mediterranean serta menjadikan Gaza sebagai hab ekonomi yang berkembang pesat seperti ‘Hong Kong baharu di Asia Barat’ dengan syarikat AS sebagai terasnya.

Apa yang pasti, Trump cuba mengancam dengan pelaksanaan tarif dan menyekat pengaruh kuasa besar lain seperti blok BRICS yang disertai Kaherah dan Riyadh serta menghalang pelaburan China dengan memastikan kehadiran Barat yang kukuh di Asia Barat meskipun campur tangan beliau mula tidak disenangi paksi serantau.

Jika pelan B juga gagal, mungkinkah Trump akan merancang pelan C dengan mengerahkan pasukan tentera, mengenakan sekatan maksimum, pengasingan diplomatik dan memberi tekanan kepada negara tertentu untuk merealisasikan kuasa monopoli AS di Asia Barat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!