Tiada persefahaman dibuat Warisan, BN Sabah untuk pilihan raya - Darell

Datuk Darell Leiking
Datuk Darell Leiking
A
A
A

KOTA KINABALU - Tiada sebarang persefahaman dibuat antara Parti Warisan (Warisan) dan Barisan Nasional (BN) Sabah untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) setakat ini.

Perkara itu disahkan oleh Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darell Leiking menerusi kenyataannya susulan hantaran yang dikongsikan dalam sebuah laman di Facebook sejak Khamis.

"Saya telah menerima banyak panggilan serta pesanan WhatsApp dari wartawan, ahli parti Warisan dan orang awam yang bertanyakan saya adakah benar bahawa satu persefahaman pilihan raya antara Warisan dan BN Sabah telah dibuat seperti yang dikongsikan di Facebook.

"Untuk pengetahuan semua, saya mengesahkan bahawa tidak ada sebarang persefahaman pilihan raya dibuat antara Warisan dan BN Sabah termasuk dengan mana-mana parti politik yang lain yang membabitkan kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) seperti yang dikatakan oleh laman tersebut.

"Perkara ini, termasuklah juga pendapat yang dikemukakan oleh pelbagai pihak supaya Warisan membuat kerjasama pilihan raya, juga tidak pernah dibawa ke peringkat Majlis Tertinggi Warisan mahupun Biro Politik Warisan untuk dibincangkan," katanya pada Jumaat.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog melihat, hantaran tersebut hanya andaian dan spekulasi yang timbul ketika menjelang pilihan raya.

"Berdasarkan perkembangan politik terkini, saya berpendapat bahawa Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Hajiji Noor (Datuk Seri Hajiji Noor) berkemungkinan besar mengharapkan kerjasama dengan BN Sabah dimana ketika Persidangan Agung Tahunan Parti Bersatu Sabah (PBS) ke-39 pada 29 Oktober 2024 di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), beliau (Hajiji) sendiri mengatakan bahawa GRS terbuka berbincang kerjasama dengan BN Sabah.

"Merujuk juga kepada kesediaan Pakatan Harapan (PH) Sabah untuk terus bersama dengan GRS, maka kita tidak perlu hairan mengapa Hajiji mahu BN Sabah berkerjasama dengan gabungan tersebut.

"Ini semua hanyalah untuk memastikan GRS terus memerintah negeri ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!