Lebuhraya KBKK: 'Jangan salah faham, itu projek kerajaan Persekutuan'

Tangkap layar video tular mengenai Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai yang terbengkalai  - Foto: KelantanFA.com (Gambar kecil: Mohamed Fadzki)
Tangkap layar video tular mengenai Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai yang terbengkalai - Foto: KelantanFA.com (Gambar kecil: Mohamed Fadzki)
A
A
A

KOTA BHARU - "Jangan salah faham, itu projek Kerajaan Persekutuan," kata Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohamed Fadzli Hassan mengenai Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai (KBKK) yang sehingga kini masih terbengkalai.

Menurutnya, ramai yang salah faham mengenai pembinaan lebuh raya berkenaan kerana menyalahkan kerajaan negeri.

Sebelum ini tular di media sosial mengenai Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai yang menggambarkan kerajaan Kelantan gagal menyiapkan projek itu kerana pembinaannya sehingga di Ketereh sahaja.

Menurut beliau, kerajaan Kelantan juga berharap projek berkenaan dapat disiapkan secepat mungkin untuk kemudahan rakyat.

"Saya nak jelaskan itu merupakan projek kerajaan Persekutuan kerana ramai yang tidak faham selain menyalahkan kerajaan negeri," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Exco pada Rabu.

Mohamed Fadzli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan berkata, pihaknya difahamkan bahawa kontraktor sebelum ini ditamatkan kontrak kerana gagal menyiapkan projek terbabit.

"Kita juga difahamkan Kementerian Kewangan akan membuka tender baharu untuk sambungan pembinaan lebuh raya itu.

"Jika lebuh raya di Pahang boleh disiapkan dengan cepat, kenapa di Kelantan berlaku masalah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, semua perkara yang membabitkan pihak kerajaan negeri termasuk pengambilan tanah juga sudah selesai dan tiada isu lain lagi yang melambatkan proses pembinaan.

Jelas beliau, Kelantan antara negeri yang menjadi tumpuan pelancong dari seluruh negara menyebabkan keadaan trafik sesak.

"Kita difahamkan Kota Bharu merupakan bandar kedua paling sesak di Malaysia selepas George Town. Jadi kerajaan sangat berharap lebuh raya itu mendapat perhatian kerajaan," katanya.

Menurut maklumat sebelum ini Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai juga dikenali sebagai Lebuhraya Rakyat dijangka dapat digunakan oleh orang ramai pada 2027.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!