[VIDEO] PM mahu iPayment diperluas awal Mac

A
A
A

PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Sistem Teriman Elektronik Kerajaan Persekutuan (iPayment) diperluas kepada seluruh kementerian dan jabatan seawal Mac ini.

Menurutnya, inisiatif tersebut perlu dipercepatkan agar rakyat dapat menikmati kemudahan tersebut ketika berurusan dengan kerajaan.

Beliau berkata, ia menjadi ukuran tatkala reformasi sedang giat dilaksanakan kerajaan.

"Sebab itu saya gesa supaya program iPayment ini dipercepatkan dari unjuran jadual akhir April kepada awal Mac," katanya pada majlis pelancaran iPayment di sini pada Rabu.

Inisiatif yang dibangunkan oleh Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) itu selaras dengan dasar kerajaan memacu transformasi digital sektor awam ke arah komuniti tanpa tunai.

iPayment boleh diakses melalui tiga saluran pembayaran iaitu portal, kaunter dan aplikasi mudah alih.

Anwar ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan dan Majlis Peluncuran Sistem Terimaan Elektronik Kerajaan Persekutuan (iPayment) di Kementerian Kewangan, pada Rabu. Foto Bernama
Anwar ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan dan Majlis Peluncuran Sistem Terimaan Elektronik Kerajaan Persekutuan (iPayment) di Kementerian Kewangan, pada Rabu. Foto Bernama

Sistem ini memberi pilihan kepada pelanggan untuk membuat pembayaran kepada kerajaan secara dalam talian dengan menggunakan mod pembayaran seperti kad debit, kad kredit, kad prabayar, perbankan internet dan juga e-dompet.

Pembangunan iPayment bermula sejak 2022 dan pelaksanaannya dibuat dalam dua fasa melibatkan fasa pertama pada Mac 2024 yang membolehkan pembayaran dibuat melalui portal dalam talian, manakala fasa kedua yang bermula Februari 2025 akan menambah pilihan pembayaran di kaunter fizikal dan aplikasi mudah alih.

Artikel Berkaitan:

Antara kementerian dan agensi yang telah menggunakan sistem ini termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), JANM, Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, dan Jabatan Perikanan.

Sementara itu, Anwar berkata, Malaysia perlu bergerak lebih pantas jika ingin terkedepan dan tidak ketinggalan dalam transformasi digital.

Beliau berkata kemajuan negara dalam bidang tersebut dilihat agak mendatar jika dibandingkan dengan beberapa negara lain seperti Estonia, Emeriah Arab Bersatu dan Arab Saudi.

"Apabila kita lihat, rupanya 10, 15 tahun atau 20 tahun lalu, saya ingat ketika itu sebagai Menteri Kewangan, kita jauh di atas kekuatan dengan segala kekaguman tetapi banyak masalah (berlaku) yang akhirnya (menjadikan kemajuan) kita agak mendatar.

"Jadi sebab itu, kita harus kejar dan apabila sebut mengenai reformasi institusi termasuk dalam perkhidmatan awam, haruslah ada kepantasan luar biasa," ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!