[VIDEO] PM mahu projek tebatan banjir diberi kelonggaran
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu projek tebatan banjir diberi kelonggaran oleh Perbendaharaan Malaysia agar pelaksanaannya dapat dipercepatkan.
Berucap di hadapan warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), beliau berkata, ia melibatkan peruntukan segera dan proses saringan awal (pre queue) yang lebih cepat.
"Mengapa kita tekankan soal tender ini? Kerana saya tengok kalau guna kaedah rundingan, banyak ketelanjuran dan ketirisan.
"Jadi sebaiknya kita gunakan tender," katanya pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri Bulan Februari di Puspanitapuri pada Isnin.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, sekiranya projek berkenaan melalui proses biasa, ia akan memakan masa yang panjang.
"Orang yang terkesan dengan banjir itu tidak mampu lagi untuk menunggu. Hal-hal ini saya harap diberi perhatian," jelas Anwar.
Sementara itu, Anwar berkata, program pembasmian kemiskinan tegar juga perlu segera diselesaikan dan dipantau pelaksanaannya.
“Dua malam lalu, saya sempat menelefon Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Datuk Nik Nasarudin Mohd Zawawi untuk pemantauan projek- projek.
"Alhamdulillah projek kemiskinan tegar, kejayaannya baik tetapi jumlah bertambah," katanya.
Jelas beliau, semakan di Parlimen Tambun contohnya mendapati, bilangan miskin tegar masih kekal sekitar 15 keluarga dan keseluruhan Perak 100 keluarga.
"Saya sebut kepada pengarah, di Tambun, 15 keluarga itu boleh dicari dan diselesaikan dalam tempoh dua hari supaya kemiskinan tegar itu dapat dibereskan," ujar Anwar.
Katanya, situasi sama di Wilayah Persekutuan boleh diselesaikan sama ada menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat atau agensi zakat dan Majlis Agama.
"Saya menghubungi Dr Zaliha untuk pastikan jumlah itu diselesaikan walaupun selesai pada Oktober, mungkin November bertambah dua atau tiga keluarga lagi.
"Walaupun kecil masalah ini pada saya, soal kemiskinan tegar ini sangat besar bagi keluarga yang terlibat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

