Lega anak saudara terima sumbangan kelengkapan sekolah

Muhammad Khawarizmi (kanan) antara 200 murid daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) menerima sumbangan menerusi program Back To School 2025 anjuran Petronas.
Muhammad Khawarizmi (kanan) antara 200 murid daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) menerima sumbangan menerusi program Back To School 2025 anjuran Petronas.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki menarik nafas lega apabila anak saudaranya menjadi antara 200 murid daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) menerima sumbangan menerusi program Back To School 2025 anjuran Petronas.

Amiruddin Abdul Karim, 65, yang sebelum ini bekerja sebagai pencari kotak terpakai berkata, sumbangan tersebut sangat meringankan beban untuk membeli keperluan sekolah memandangkan dia perlu menyara empat anak saudaranya yang masih bersekolah.

"Saya belum berkahwin...enam anak saudara saya tinggal bersama di rumah pusaka keluarga di susulan ibu bapa mereka sudah bercerai. Kini saya menjaga anak-anak saudara saya di mana empat daripadanya masih bersekolah.

"Alhamdulillah... anak saudara saya, Muhammad Khawarizmi Muhammad Harris yang merupakan murid Tahun Enam terpilih menerima sumbangan sumbangan berupa pakaian seragam, kasut, beg dan peralatan sekolah daripada Petronas.

"Ia sangat membantu memandangkan saya kini tidak mampu untuk membeli peralatan sekolah baharu kepada anak saudara kerana tidak lagi bekerja mencari kotak terpakai dan menjadi pembantu kedai makan atas faktor kesihatan. Jadi sumbangan diberikan sangat bermakna kepada golongan susah seperti kami dan terima kasih Petronas atas bantuan diberikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Back To School 2025 anjuran Petronas di sebuah hotel di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Jani berkata, ketika ini dia menerima bantuan sara hidup daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) sebanyak RM3,000 setahun dan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM800 sebulan.

"Buat masa ini memang duit sumbangan diterima itu untuk menampung perbelanjaan keluarga. Ibu saya sudah tidak berapa sihat dan uzur...kini ibu saya menetap di rumah kakak saya.

Artikel Berkaitan:

"Jadi saya memang menyara anak-anak saudara yang tinggal bersama di rumah pusaka keluarga. Sumbangan diberikan ini sangat meringankan beban memandangkan kos sara hidup yang tinggi ketika ini dengan saya yang tidak mempunyai gaji tetap untuk menyara mereka," ujarnya.

Pada program tersebut seramai 200 murid daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) di Terengganu menerima sumbangan kelengkapan sekolah daripada Petronas bagi persediaan sesi persekolahan akan datang.

Melalui program itu, setiap pelajar menerima satu set pakaian seragam sekolah, sepasang kasut hitam, sepasang stokin, sepasang pakaian sukan berupa kemeja-T berkolar dan seluar sukan, bekas makanan serta botol minuman.

Selain itu, mereka juga dibekalkan dengan peralatan pembelajaran seperti beg sekolah dan set alat tulis.

Sementara itu, Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Mohamad Ahmad Shazly Ramli berkata, pihaknya terus komited dalam menyokong usaha kerajaan mempertingkatkan kecemerlangan pelajar.

Justeru, beliau berharap sumbangan yang disampaikan mampu meningkatkan motivasi pelajar yang kurang berkemampuan untuk terus gigih dalam pembelajaran mereka sekali gua mencipta kecemerlangan terhadap pembelajaran masing-masing.

"Kita juga berharap sumbangan ini mampu membantu meringankan beban kewangan ibu bapa terutama golongan berpendapatan rendah dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!