Pesara dijel 6 tahun, 3 sebatan amang seksual anak saudara usia 12 tahun

Seorang pesara dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Seremban kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudaranya berusia 12 tahun, 3 Februari lalu.
Seorang pesara dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Seremban kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudaranya berusia 12 tahun, 3 Februari lalu.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang pesara dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudara perempuan berusia 12 tahun, 3 Februari lalu.

Hakim, Datin Surita Budin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh berusia 63 tahun selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan.

Hukuman penjara terbabit bermula daripada tarikh tertuduh ditangkap pada 9 Februari.

Mengikut lima pertuduhan yang dibacakan berasingan, tertuduh didapati melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun.

Kesalahan itu dilakukan pada 3 Februari 2025 kira-kira jam 8.30 pagi di tandas dan bilik tidur sebuah rumah di Seremban 2 di sini.

Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14(a), 14(b) dan 14(d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga disebat.

Tertuduh turut didakwa di bawah Seksyen 15B(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 apabila mengugut mangsa sama untuk melakukan aktiviti yang bersifat seksual.

Kesalahan itu dilakukan pada 4 Februari 2025, kira-kira jam 6.30 pagi di bilik tidur rumah sama.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman ringan kerana telah insaf dan menyesal atas perbuatannya.

Katanya, itu merupakan kesalahan jenayah pertama yang dilakukan sepanjang usianya.

"Saya mohon mahkamah pertimbang untuk ringankan hukuman kerana saya perlu menanggung dua isteri dan dua anak," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara dan sebatan yang setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dengan mengambil kira kepentingan awam berbanding kepentingan peribadi tertuduh.

"Mahkamah perlu mengambil kira usia mangsa yang ketika kejadian berusia 12 tahun.

"Tertuduh sebagai bapa saudara tidak sepatutnya mencari peluang untuk buat jenayah seksual kepada mangsa," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!