Lega anak terima bantuan sekolah

BESUT - Sepasang suami isteri buntu memikirkan kelengkapan persekolahan empat anak selepas kehilangan sumber pendapatan tetap, menarik nafas lega apabila menerima bantuan dari Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad).
Mohd Salmi Mat Kila, 45, berkata, dia tidak mampu bekerja sebagai petani sejak Ogos tahun lalu selepas disahkan mengalami penyakit berkaitan hati serta dua lagi penyakit lain.
Menurut Mohd Salmi, isterinya pula, Nor Yusrina Mohamad, 43, cedera selepas terlibat kemalangan motosikal ketika menghantar anak ke sekolah bulan lalu.
"Sebelum ini isteri saya berniaga ikan pekasam, namun selepas kemalangan dia tidak berniaga kerana kaki kirinya tidak dapat berjalan dengan sempurna.
"Jadi dari segi sumber pendapatan tu kami tiada pendapatan yang tetap cuma bergantung kepada bantuan bulanan diterima dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di samping melakukan kerja-kerja ringan di kampung," katanya.
Mohd Salmi ditemui pemberita sempena Program Epic Back To School 2025 di Jertih, baru-baru ini.

Katanya, bantuan diterima itu amat meringankan bebanan ditanggung bagi membesarkan empat cahaya mata yang masih bersekolah.
"Memang agak berat bagi kami untuk menyediakan kelengkapan persekolahan empat anak, tiga daripada mereka sekolah menengah dan seorang lagi masih di sekolah rendah.
"Kami bersyukur kerana anak bongsu terpilih dapat RM200, jadi ringan sikit bebanan kami yang kurang mampu," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Muhtar Suhaili berkata, program EPIC Back to School 2025 merupakan siri ketiga diadakan di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR).
"Program 'EPIC Back to School' telah menjadi tradisi tahunan syarikat dalam usaha membantu keluarga yang memerlukan, selari dengan aspirasi syarikat dalam menyokong pembangunan pendidikan di Terengganu.
"Kali ini seramai 100 murid kurang berkemampuan dalam kawasan Jabi dipilih bagi membantu mereka mendapatkan persiapan kelengkapan persekolahan.
"Setiap murid menerima sumbangan baucar bernilai RM200 yang ditaja sepenuhnya oleh EPIC Berhad," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!