Lelaki didakwa bunuh ibu mentua

Tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh ibu mentuanya di sebuah rumah di Taman Sri Skudai pada 5 Februari lalu.
Tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh ibu mentuanya di sebuah rumah di Taman Sri Skudai pada 5 Februari lalu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, pada Rabu atas pertuduhan membunuh wanita warga emas di sebuah rumah di Taman Sri Skudai pada 5 Februari lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Zuraidi Zakaria, 51, kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh hingga menyebabkan kematian ibu mentuanya, Epah Daik, 79, di sebuah rumah di Jalan Tembaga Merah, Taman Sri Skudai, di sini kira-kira jam 4.20 petang.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara bagi tempoh tidak kurang 30 tahun tetapi tidak lebih 40 tahun dan jika tidak dihukum gantung hendaklah juga dikenakan hukuman sebatan tidak kurang 12 sebatan sekiranya didapati bersalah.

Majistret Atifah Hazimah Wahab kemudian menetapkan 28 April depan untuk sebutan semula kes bagi menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nik Noratini Nik Azman, manakala tertuduh pula tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, media melaporkan polis menahan seorang lelaki dan wanita bagi membantu siasatan susulan kematian seorang warga emas yang ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di sebuah rumah dekat Taman Sri Skudai, Skudai.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, tangkapan dua warga tempatan itu dibuat selepas polis mengesyaki terdapat unsur jenayah terhadap kematian wanita warga emas yang berusia 79 tahun itu.

Menurutnya, pihak polis menerima laporan berhubung penemuan wanita itu pada jam 7.08 malam di mana warga tempatan itu ditemui dalam keadaan terbaring di ruang tamu dan diselubungi dengan kain batik.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!