X

Kindly register in order to view this article
!

Desas-desus kerajaan baharu di Malaysia

Istana Negara
A
A

SUASANA politik negara tiba-tiba ‘panas’ semalam. Episod menarik itu bermula apabila beberapa parti politik utama mengadakan mesyuarat tergempar di ibu negara yang dipercayai ada kaitan dengan perkembangan pembentukan kerajaan baharu.

Perkembangan ini jarang-jarang berlaku. Menurut sumber, semua mesyuarat berkenaan terarah kepada pembentukan gabungan baru membabitkan kerjasama Bersatu, UMNO, Pas, serpihan PKR, Warisan serta GPS.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kemudiannya menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara bersama enam pemimpin parti gabungan yang mewakili 138 ahli Parlimen.

Penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim pula berkumpul di kediaman Presiden PKR itu di Segambut Dalam. Difahamkan Anwar akan menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Platform media sosial terutama Facebook, WhatsApp dan Twitter menjadi 'pusat maklumat' dengan netizen masing-masing bertindak menjadi ‘penganalisis politik tak bertauliah’. Ledakan maklumat di media sosial menyebabkan rakyat keliru, tidak tahu mana satu yang betul.

Wartawan sendiri menerima banyak mesej melalui media sosial bahawa Dr Mahathir akan mengumumkan pertukaran kuasa tersebut. Sehingga jam 11 malam tadi, masih belum ada sebarang pengumuman mengenainya.

Rakyat tidak perlu bimbang kemungkinan keadaan anarki kerana Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa dalam keadaan bersedia. Mungkin kecoh hanya di media sosial. Kekalkanlah di situ, jangan dibawa ke jalan raya.

Sekiranya benar berlaku, ia adalah sejarah baharu kerana Pakatan Harapan (PH) yang diberi mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu, memerintah tidak sampai dua tahun. PH bakal menyambut ulang tahun kedua menjadi kerajaan pada 9 Mei ini selepas menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Apa juga percaturan politik yang terjadi, kita harap ia berlaku dalam keadaan aman. Mufti Wilayah Persekutuan Dr Zulkifli Mohamad menitipkan doa khusus buat Malaysia melalui Facebook beliau, “Semoga ALLAH SWT kurniakan Malaysia sentiasa dalam aman, begitu juga dengan para pemimpin diberi taufiq, hidayah dan sabar."


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus