Hamas tak bagi muka kepada Zionis

GENTING GAZA - Gerakan Hamas menangguhkan pembebasan seterusnya tawanan Israel ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak.
Keputusan tegas itu dibuat selepas rejim Zionis didakwa berulang kali melanggar perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 19 Januari lalu.
“Sejak tiga minggu lalu, Israel sengaja melengahkan kepulangan penduduk Palestin ke utara Gaza dan terus menyasarkan mereka dengan tembakan dan bedilan,” ujar jurucakap sayap tentera Briged Qassam, Abu Obeida menerusi platform X.
Pada Isnin, pegawai kanan Hamas, Basem Naim juga mendakwa rejim Tel Aviv gagal mematuhi kewajipan mereka di bawah perjanjian tempoh bertenang itu.
“Kami telah memaklumkan pencabulan harian yang dilakukan Israel kepada negara perantara, Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat (AS).
“Sekurang-kurangnya 25 penduduk Palestin terkorban manakala puluhan yang lain cedera selepas pelaksanaan gencatan senjata itu,” katanya.
Sebagai respons terhadap pendirian tegas Hamas, Menteri Hal Ehwal Tentera Israel, Israel Katz mengarahkan askar mereka supaya siap siaga untuk sebarang senario di Gaza.
Pada Sabtu lalu, Hamas membebaskan tiga lagi tawanan di bawah perjanjian pertukaran tahanan kelima dengan pembebasan 183 tahanan Palestin termasuk 18 individu yang dihukum penjara seumur hidup. - Agensi
Info:
>Sejak 19 Januari lalu, seramai 16 tawanan Israel telah dibebaskan Hamas dengan pertukaran pembebasan kira-kira 566 tahanan Palestin.
>Pertukaran tahanan seterusnya dijadualkan pada Sabtu ini melibatkan tiga tawanan dengan ratusan tahanan Palestin.
>Di bawah perjanjian gencatan senjata itu, tahanan akan dibebaskan secara berperingkat. Seramai 73 tawanan masih di Gaza (34 terbunuh).
>Fasa pertama perjanjian itu bakal tamat pada 11 Mac depan. Fasa kedua pula bakal menyaksikan pembebasan kesemua tawanan di Gaza dan pelaksanaan gencatan senjata secara kekal, namun ia belum dimuktamadkan. Fasa ketiga menjadi permulaan kepada rancangan pembinaan semula wilayah Gaza.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!