Perak, Selangor, Negeri Sembilan jalin kerjasama tarik pelancong China

Sze Yee (tengah) bergambar pada program Familiarization Trip China Ke Perak di Miker Signature Silveritage pada Selasa. Foto Bernama
Sze Yee (tengah) bergambar pada program Familiarization Trip China Ke Perak di Miker Signature Silveritage pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Perak buat julung kali bekerjasama dengan Selangor dan Negeri Sembilan untuk mempromosikan pelancongan rentas negeri, inisiatif yang dijangka menarik lebih ramai pelancong dari China ke negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri, Loh Sze Yee berkata, langkah yang digerakkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) ini menawarkan pelbagai pilihan produk pelancongan kepada pelancong daripada pelbagai latar belakang.

"Kerjasama ini mewujudkan rantaian destinasi, membolehkan pelancong dari China tidak hanya tertumpu di Selangor atau Negeri Sembilan tetapi turut menikmati pengalaman unik di negeri ini.

"Produk pelancongan yang ditawarkan juga boleh disesuaikan mengikut keperluan mereka, sama ada bersama keluarga, pasangan atau secara individu,” katanya selepas menghadiri Sesi Padanan Perniagaan sempena Program Familiarization Trip dari China ke Perak, pada Selasa.

Beliau berkata, inisiatif ini turut memperkenalkan lokasi ikonik seperti Bandar Diraja Kuala Kangsar, Kapal Korek Tanjung Tualang No.5 (TT5) dan Muzium Perlombongan Kampar kepada pelancong antarabangsa, sekali gus menjana pendapatan negeri.

Selain itu, Sze Yee berkata, seramai 55 penggiat utama industri pelancongan dari China bersama 30 penggiat tempatan telah menyertai program itu yang memberi peluang kepada mereka meneroka peluang perniagaan dalam bidang berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Sze Yee memohon peruntukan RM52 juta bagi mempercepatkan fasa kedua naik taraf Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), termasuk pembinaan infrastruktur baharu dan penambahbaikan logistik.

"Projek ini bernilai RM60 juta secara keseluruhan dan dibahagikan kepada dua fasa. Fasa pertama bernilai RM8 juta telah 90 peratus siap, namun fasa kedua perlu disegerakan bagi menampung pertambahan pelancong,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 31 Januari lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, dengan peruntukan itu, LTSAS mampu menampung 700,000 penumpang setahun berbanding 500,000 ketika ini.

Selain itu, sebuah terminal kargo juga akan dibina di tanah seluas lebih 10 hektar milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) berhampiran lapangan terbang tersebut. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!