Enam ditahan tipu dokumen pinjaman bernilai lebih RM1.3 juta

KUALA TERENGGANU - Polis menahan enam individu termasuk pegawai institusi kewangan dipercayai menggunakan dokumen palsu untuk permohonan pembiayaan peribadi membabitkan kerugian lebih RM1.3 juta menerusi tangkapan di beberapa negeri pada Isnin lalu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, kesemua mereka yang berumur antara 26 hingga 55 tahun itu ditahan di Terengganu, Johor dan Selangor.
Ujar beliau, pihaknya turut merampas 15 unit kad ATM dan enam telefon bimbit disyaki digunakan dalam kes tersebut.
"Pada 28 Januari lepas, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Terengganu telah menerima laporan polis daripada seorang lelaki berusia 42 tahun yang merupakan seorang pengurus sebuah syarikat institusi kewangan di Kuala Terengganu, mendakwa institusi kewangannya telah ditipu dalam urusan pembiayaan pinjaman peribadi sehingga mengalami kerugian.
"Menurut fakta kes, sekitar bulan Januari hingga April 2024 institusi kewangannya telah menerima permohonan pembiayaan daripada tujuh orang pelanggan dan telah meluluskan permohonan pinjaman tersebut dengan jumlah sebanyak RM1.325 juta.
"Bagaimanapun selepas pembiayaan diluluskan, didapati kesemua individu yang menyamar sebagai penjawat awam berkhidmat di Johor itu gagal menjelaskan bayaran ansuran bulanan," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut, Mohd Khairi berkata, hasil audit dalaman institusi kewangan terbabit mendapati kesemua individu tersebut telah mengemukakan dokumen serta data yang telah dipalsukan bagi mendapatkan kelulusan pinjaman.
"Hasil risikan, seramai enam individu terdiri daripada empat wanita dan dua lelaki ditahan Isnin lalu di Terengganu, Johor dan Selangor.
"Salah seorang daripada suspek yang ditangkap adalah pegawai institusi kewangan di sebuah syarikat institusi kewangan yang ditipu tersebut dan selebihnya adalah peminjam iaitu pekerjaan sebenar suspek merupakan suri rumah dan berniaga.
"Kita akan membuat beberapa tangkapan lagi terhadap mereka terbabit dalam kes berkenaan serta turut melakukan rampasan ke atas duit atau aset yang diperolehi daripada kesalahan penipuan tersebut," ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd Khairi berkata, kesemua suspek sudah dipohon reman di Mahkamah Kuala Terengganu pada pagi tadi.
"Reman terhadap kesemua suspek berbeza bagi setiap seorang iaitu bermula selama dua hingga empat hari," jelas beliau.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
