[VIDEO] SchaYang sediakan baju raya, potret bersama arwah ibu, ayah mentua sebelum meninggal
KOTA BHARU - Pempengaruh tinggi luar biasa dikenali sebagai SchaYang atau Nur Syahirah Saufi yang meninggal dunia akibat sesak nafas selepas seminggu mendirikan rumah tangga sempat menyediakan sepasang baju Melayu untuk dipakai suaminya semasa Aidilfitri nanti.
Bukan itu sahaja, arwah turut membuat kejutan semasa berbulan madu apabila menghadiahkan potret dia bersama arwah ibu dan ayah mentua yang telah lama meninggal dunia serta suami, Muhammad Syahmi Zulkefli, 27.

"Apabila diingat kembali, dia seperti tahu akan pergi. Hanya baju Melayu buat saya disiapkan, untuknya tiada.
"Begitu juga dengan potret, arwah ada minta gambar arwah mak dan ayah saya sebelum ini. Tetapi tidak sangka ia dipotretkan dan dijadikan hadiah kepada saya," kata Muhammad Syahmi kepada pemberita semasa menerima kunjungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Kelantan di Kampung Pengkalan Datu di sini pada Selasa.
Menurut Muhammad Syahmi, semasa arwah menghembuskan nafas terakhirnya, dia berada di Paka, Terengganu kerana bekerja.

Ujarnya, sepatutnya Syawal ini akan diadakan majlis menyambut menantu di Terengganu, namun tidak kesampaian.
Media tempatan sebelum ini melaporkan SchaYang yang mempunyai pengikut seramai 86,200 di TikTok meninggal dunia jam 11.30 malam pada 6 Februari lalu di rumahnya di Pengkalan Datu.
SchaYang berketinggian 186 sentimeter berkahwin dengan Muhamad Syahmi yang berketinggian 195 sentimeter pada 30 Januari lalu.

Sementara itu, Muhamad Syahmi memberitahu, dia akan menyerahkan pencen penakat PERKESO berjumlah RM470 sebulan kepada ibu mentuanya.
Dia berharap wang tersebut dapat meringankan beban keluarga mentuanya selepas pemergian Nur Syahirah.
"Memang niat saya untuk buat sedekah kepada arwah dan walaupun isteri sudah tiada namun hubungan di antara mentua sentiasa terjalin," katanya.
Sumbangan pencen penakat tersebut disampaikan oleh Pengarah PERKESO Kelantan, Nora Yaacob.
Nora berkata, selain pencen penakat, keluarga Nur Syahirah turut menerima faedah pengurusan jenazah berjumlah RM3,000.
Ujarnya, pempengaruh itu layak menerima manfaat tersebut kerana majikannya menjalankan tanggungjawab dengan mencarum setiap bulan.
"Kami ingin berpesan kepada kepada majikan di luar sana agar mencarum dengan PERKESO kerana ia adalah tanggungjawab untuk berbuat demikian," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

