Jangan lepas tangan jaga ibu bapa

Tidak mudah sebenarnya menjaga warga emas yang mungkin banyak kerenah kerana mereka pada hakikatnya seperti seorang kanak-kanak tetapi dalam versi banyak pengalaman hidup. Foto123RF
Tidak mudah sebenarnya menjaga warga emas yang mungkin banyak kerenah kerana mereka pada hakikatnya seperti seorang kanak-kanak tetapi dalam versi banyak pengalaman hidup. Foto123RF
A
A
A

JABATAN Perangkaan Malaysia mengeluarkan statistik bahawa warga emas bagi suku kedua 2024 adalah sebanyak 11.6 peratus atau 3.9 juta daripada jumlah penduduk Malaysia.

Menurut jabatan itu lagi, dari segi jangka hayat penduduk pula, Malaysia mencatatkan peningkatan jangka hayat kepada 74.8 tahun pada 2023 berbanding 63.6 tahun pada 1970.

Apabila bercakap mengenai warga emas, mungkin ramai bercerita mengenai pencen bulanan bagi pesara kerajaan atau jumlah wang simpanan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Sebenarnya itu bukan perkara utama jika warga emas berkenaan masih dalam keadaan sihat atau mampu melakukan kerja-kerja rumah.

Perkara lain yang perlu difikirkan ialah siapakah yang akan menjadi penjaga mereka, apakah keperluan penting jika golongan itu tidak mampu bergerak dan apakah tindakan keluarga atau anak-anak jika warga emas itu tidak mempunyai wang.

Tanggungjawab besar menjaga warga emas sudah tentulah dipikul oleh anak-anak dan kebanyakannya akan ada seorang daripada mereka tinggal bersama.

Keadaan menjadi lebih sukar apabila menjaga ibu atau bapa yang sebelum ini hanya bekerja untuk membesarkan anak-anak tanpa sebarang simpanan.

Lebih menyedihkan apabila adik-beradik yang lain tiada simpati atau empati untuk berkongsi kepayahan tersebut termasuk menyokong sumber kewangan.

Beberapa minggu lalu, seorang rakan berkongsi pengalamannya mengambil tanggungjawab menjaga ibu yang sudah tua dan uzur.

Artikel Berkaitan:

Pujian diberikan kepada rakan berkenaan kerana mencetuskan idea supaya adik-beradik lain mengeluarkan sejumlah wang setiap bulan untuk membelikan ubat atau menanggung kos rawatan ibu mereka yang sebelum ini hanya seorang suri rumah.

Katanya, ia bukan disebabkan rasa ‘dengki’ enam adik-beradik lain berjauhan dan tidak menjaga ibu tetapi itu cara terbaik menambah pahala adik, kakak dan abang yang tidak berpeluang mendengar celoteh dan bebelan ibu mereka setiap hari.

Memang bagus idea tersebut kerana ia salah satu usaha mengingatkan adik-beradik lain bahawa mereka masih ada tanggungjawab penting, selain suami, anak atau isteri di depan mata setiap hari.

Bagaimanapun ada antara anak-anak yang mampu dalam konteks kewangan untuk menjaga ibu bapa yang sudah tua, namun apakah emosi mereka cukup kuat tanpa sokongan moral adik-beradik lain.

Tidak mudah sebenarnya menjaga warga emas yang mungkin banyak kerenah kerana mereka pada hakikatnya seperti seorang kanak-kanak tetapi dalam versi banyak pengalaman hidup.

Dalam pada itu, peningkatan jangka hayat menjadi petunjuk jelas bahawa negara kita akan berhadapan dengan penuaan penduduk menjelang 2030.

Itulah hakikat sebenarnya bahawa lebih ramai anak-anak diberi rezeki menjaga ‘kunci syurga’ yang turut menua dalam kehidupan mereka.

Syukur jika ibu bapa kita seorang yang pendiam, namun ada anak yang terpaksa berdepan dengan pelbagai tindakan luar jangka terutama jika orang tua mengalami Alzheimer.

Jadi, jika kita tidak mampu menghulurkan sumbangan kepada adik-beradik yang menjaga ibu atau bapa, sentiasalah menghubungi mereka, mendengar luahan hati mereka agar sedikit sebanyak dapat memberikan ketenangan jiwa, seterusnya mampu ‘berkhidmat’ lebih lama.

Namun, tak dinafikan ada dalam kalangan kita memperlekehkan anak-anak yang mahu ‘berehat’ sebentar daripada menjaga ibu bapa, kononnya sangat berkira untuk menjaga ‘kunci syurga’ tetapi mungkin itulah cara terbaik bagi anak-anak mengumpul semula kekuatan emosi.

Dalam pada itu, kita turut teruja apabila tahun lalu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri memaklumkan kementerian itu sentiasa mengambil pelbagai inisiatif bagi memastikan warga emas di negara ini meniti usia dengan bermaruah.

Kementerian mahu mewujudkan warga emas yang berdikari, bermartabat diri dan dihormati dengan mengoptimumkan potensi diri.

Hasrat itu mungkin tercapai jika warga emas berkenaan berada dalam persekitaran keluarga berpendidikan tinggi atau dikelilingi sanak-saudara yang mempunyai kewangan kukuh.

Justeru, kongsilah kaedah terbaik bagi memastikan warga emas tidak terabai, sementara anak pula sentiasa tenang dan ikhlas ‘membalas budi’ orang tua mereka.

* Aswany Omar ialah wartawan Sinar Harian Kelantan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!