Vaksin influenza percuma untuk warga emas

SHAH ALAM - Warga emas berusia 60 tahun ke atas akan menikmati vaksin influenza secara percuma bermula 18 Februari ini.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan berkata, program vaksin sukarela merupakan langkah progresif yang memanfaatkan lebih 170,000 warga emas berisiko tinggi termasuk mereka mempunyai sekurang-kurangnya satu penyakit kronik.
Menurut kenyataan tersebut, janji temu bagi mendapatkan vaksin boleh dibuat melalui aplikasi MySejahtera bermula 14 Februari.
“Namun ia tertakluk kepada status agihan vaksin ke seluruh negara yang dibuat secara berfasa.
“Perluasan program imunisasi tersebut bertujuan melindungi lebih ramai populasi berisiko tinggi daripada komplikasi serius akibat jangkitan influenza seperti pneumonia, radang jantung dan sepsis yang boleh menyebabkan kemasukan ke hospital atau kematian,” katanya pada Isnin.
Ujar kenyataan berkenaan, kematian mengejut pelakon Taiwan, Barbie Hsu akibat pneumonia terkait influenza mengejutkan masyarakat Asia Timur dan mendorong kepada peningkatan permintaan terhadap vaksin influenza.
Katanya, trend tersebut menyebabkan kekurangan stok vaksin influenza dalam pasaran tempatan.
“Namun begitu, kekurangan stok ini hanyalah bersifat sementara. Bekalan vaksin untuk jangka sederhana juga adalah mencukupi bagi tujuan pelaksanaan pelan imunisasi sedia ada termasuk untuk jemaah haji.
“Di samping itu juga, Program Perkhidmatan Farmasi KKM sedang mengambil langkah perlu untuk memastikan bekalan vaksin di pasaran tempatan pulih secepat mungkin,” ujarnya.
Tambah kenyataan itu, pengambilan vaksin influenza oleh semua lapisan masyarakat disarankan setahun sekali terutama golongan berisiko tinggi termasuk warga emas.
Menurutnya, di Malaysia, waktu terbaik untuk mengambil vaksin berkenaan adalah pada Mac atau September, selari dengan kesiapsiagaan menghadapi gelombang musim sejuk di hemisfera selatan pada Mei hingga Julai, dan gelombang musim sejuk di hemisfera utara pada November hingga Januari.
“KKM menasihatkan orang ramai supaya mengamalkan langkah pencegahan seperti kerap mencuci tangan dengan air dan sabun atau menggunakan alat sanitasi tangan, mengamalkan adab batuk yang baik dengan menutup mulut dan hidung ketika batuk atau bersin.
“Selain itu, memakai pelitup muka terutama bagi individu berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan atau yang bergejala dan mendapatkan vaksinasi.
“Orang ramai juga dinasihatkan segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di fasiliti kesihatan kerajaan atau swasta jika mengalami gejala seperti demam, batuk dan selesema yang berpanjangan,” jelas kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!