Wanita 'naik tangan' pada warga emas, kopiah tercampak atas jalan

SHAH ALAM - Tular satu rakaman papan pemuka di TikTok memaparkan seorang wanita bertindak keterlaluan dengan 'naik tangan' kepada pemandu teksi warga emas sehinggakan kopiahnya tercampak di atas jalan raya.
Lebih memilukan, pemandu teksi itu dilihat mengutip semula kopiah yang jatuh sambil mendengar kata-kata kesat dan makian dihamburkan wanita berkenaan.
Berdasarkan video berdurasi 18 saat tersebut, difahamkan berlaku insiden pergaduhan mulut disebabkan kereta jenis Proton Saga warna putih milik wanita terbabit dilanggar dari arah belakang oleh pemandu teksi di lorong kanan.
Bagaimanapun, majoriti warga maya meluahkan rasa amarah kerana wanita terbabit tidak sepatutnya berbuat demikian, sebaliknya berlemah lembut dengan orang yang lebih tua.
Malah, perbuatan melempar dan mencampakkan songkok atau kopiah yang lazimnya terletak elok di atas kepala adalah tindakan biadab serta tidak boleh diterima sama sekali.
Meskipun wanita terbabit adalah mangsa keadaan, ramai beranggapan masalah boleh selesai sekiranya kedua-dua pihak berbincang dengan cara baik.
Sehingga kini, tidak dapat dipastikan lokasi dan waktu kejadian itu berlaku, bahkan belum ada sebarang perkhabaran daripada kedua-dua pihak.
Tetapi, warga maya mencadangkan agar keluarga pemandu teksi berkenaan melaporkan kejadian kepada pihak polis sekali gus menggesa wanita terbabit melakukan permohonan maaf secara terbuka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!