Impian pejuang kanser tunai umrah tidak kesampaian

SHAH ALAM - “Kami sudah mula menyimpan duit untuk menunaikan umrah bersama, tetapi dia pergi dahulu,” luah Syamsul Azwan Mohamad, 36, yang setia menjaga isterinya, arwah Zuraida Mohd Amin, 32, sepanjang empat tahun bertarung dengan kanser sarkoma ewing.
Menurut Syamsul, sejak sebelum sakit, arwah sudah mula menabung sedikit demi sedikit untuk merealisasikan impian ke Tanah Suci.
Selain untuk dirinya dan suami, difahamkan Zuraida turut menyimpan sebahagian wang untuk diberikan kepada rumah anak yatim, tetapi niatnya itu tidak kesampaian.
Kisah anak ketiga daripada empat beradik ini melawan kanser dengan dibantu suaminya dikongsi menerusi TikTok mendapat perhatian netizen.
Zuraida menghembuskan nafas terakhir pada November tahun lalu.
Bagi Syamsul, kehilangan isteri yang menjadi sumber kekuatannya adalah sesuatu yang sukar diterima, namun dia reda dengan ketentuan takdir.
Mengimbas detik awal, Syamsul berkata, isterinya hanya mengalami sakit belakang dan kebas pada kaki sebelum mendapatkan rawatan di hospital swasta.
Ujarnya, pemeriksaan lanjut mengesahkan terdapat ketumbuhan di tulang belakang yang akhirnya didiagnosis sebagai kanser.
“Selepas menjalani pembedahan pertama pada 2020 di Hospital Kuala Lumpur, arwah pulih buat seketika dan mampu berjalan seperti biasa.
“Namun, penyakit itu menyerang kembali hingga memerlukan pembedahan kedua pada 2022 yang mengambil masa 12 jam.
“Lepas pembedahan kedua, dia nampak sihat dan semangatnya sangat kuat. Kami sudah mula merancang untuk membuka kedai dan memulakan perniagaan sendiri. Dia mahu teruskan hidup seperti biasa,” kata kepada Sinar Harian.
Bagaimanapun, pada awal 2024, kanser itu kembali menyerang, kali ini lebih agresif dan mula menekan paru-parunya.
Doktor mencadangkan rawatan kemoterapi sebelum pembedahan dilakukan, tetapi rawatan itu menyebabkan sel kanser semakin aktif.
“Selepas beberapa sesi kemoterapi, keadaan dia semakin lemah. Doktor akhirnya menghentikan rawatan kerana bimbang kesan sampingan yang lebih buruk. Arwah mula hilang semangat apabila diberitahu rawatan tidak lagi memberi harapan,” katanya yang tinggal di Muar.
Ketika keadaan kesihatannya semakin merosot, Zuraida beberapa kali meminta suaminya membawanya ke Kluang untuk bertemu ibu saudara yang banyak menjaganya sejak kecil.
“Saya cuba penuhi permintaannya walaupun keadaannya lemah. Kami berhenti beberapa kali sepanjang perjalanan untuk memastikan dia selesa,” katanya.
Sepanjang tempoh sakit, Syamsul mengambil alih sepenuhnya tugas menjaga isterinya, termasuk menyediakan makanan, menguruskan keperluannya, dan berulang-alik ke hospital.
Kini, Syamsul meneruskan kehidupan dengan berniaga sate, perniagaan yang pernah dimulakan bersama isterinya.
Dia juga bertekad untuk menunaikan umrah suatu hari nanti bagi menyempurnakan hasrat arwah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


