BAMTC 2025: Impian Justin raih mata tidak kesampaian

IMPIAN pemain muda negara, Justin Hoh untuk melebarkan jurang mata ke atas Hong Kong dalam aksi pembuka tirai Kumpulan B Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2025 di China tidak kesampaian.
Pemain di tangga ke-53 dunia itu kalah di tangan Lee Cheuk Yiu dalam pertarungan straight sebentar tadi menjadikan kedudukan mata 1-2 berpihak kepada Hong Kong.
Dalam aksi di Pusat Sukan Qingdao Conson itu, Justin bermula baik pada permulaan permainan, namun dipintas pemain di ranking ke-21 dunia itu sebelum menang 21-19.
Justin cuba memperkemaskan permainan pada set kedua, bagaimanapun usaha tersebut dinafikan Cheuk Yiu yang mengesahkan kemenangan 21-16 dalam tempoh 46 minit permainan.
Terdahulu, beregu campuran, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin yang mengimpikan untuk menyumbang mata pertama buat negara tidak kesampaian.
Mereka yang berstatus ke-15 dunia tumpas kepada Tang Chun Man-Ng Tsz Yau 17-21, 21-17, 21-11 dalam tempoh 59 minit permainan.
Malaysia kemudian bangkit mengikat kedudukan 1-1 menerusi pemain perseorangan wanita, K Letshanaa yang menumpaskan Saloni Samirbhai Mehta 21-18, 21-18.
Saingan kem badminton negara ketika ini digalas oleh beregu wanita, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing yang menentang Yeung Nga Ting-Yeung Pui Lam.
Turun menutup gelanggang selepas itu ialah aksi beregu lelaki, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang bakal berdepan Hung Kuei Chun-Lui Chun Wai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
