Kahwin sindiket mudah, tapi masalah berpanjangan

Pasangan pada awalnya memilih jalan mudah untuk berkahwin mungkin berdepan proses lebih panjang apabila mahu berpisah sekiranya status perkahwinan belum disahkan. Foto hiasan
Pasangan pada awalnya memilih jalan mudah untuk berkahwin mungkin berdepan proses lebih panjang apabila mahu berpisah sekiranya status perkahwinan belum disahkan. Foto hiasan
A
A
A

 

HASRAT membina rumah tangga boleh bertukar menjadi mimpi ngeri apabila pasangan yang memilih untuk bernikah di Selatan Thailand terjerat dengan sindiket yang menjadikan urusan akad nikah sebagai lubuk mengaut keuntungan.

Dengan tawaran pakej pernikahan antara RM2,000 hingga RM3,000 termasuk pengangkutan, penginapan dan makanan, perbuatan itu dilihat mengambil kesempatan terhadap pasangan yang mahu bernikah di luar negara tanpa melalui prosedur sewajarnya.

Tawaran kelihatan mudah dan tersusun itu boleh mengaburi mata pasangan yang beranggapan hanya perlu membayar sejumlah wang sebelum urusan pernikahan diselesaikan.

Bagaimanapun, persoalan lebih besar ialah siapa sebenarnya mengendalikan akad nikah dan adakah individu terbabit mempunyai tauliah daripada pihak berkuasa agama?

Ada pasangan hanya bergantung kepada jaminan ejen kononnya semua urusan pernikahan akan diselesaikan termasuk penyediaan sijil nikah untuk digunakan selepas pulang ke Malaysia.

Bagaimanapun, masalah mula timbul dan kesahihan dokumen dipersoalkan, pasangan mungkin tidak tahu kepada siapa perlu dirujuk, lebih-lebih lagi jika ejen atau individu menguruskan pernikahan hilang selepas bayaran dibuat.

Situasi itu membawa kesan serius sekiranya pasangan meneruskan kehidupan sebagai suami isteri tanpa mengetahui status pernikahan mereka.

Tidak terhenti kepada pasangan terbabit, sebaliknya boleh berpanjangan sehingga menjejaskan urusan dokumentasi dan hak anak hasil perkahwinan rentas sempadan itu.

Artikel Berkaitan:

Antara masalah mungkin timbul ialah urusan pendaftaran kelahiran, pengesahan nasab serta dokumen berkaitan keluarga terutama apabila perkahwinan ibu bapa belum disahkan pihak berkuasa agama atau Mahkamah Syariah.

Lebih membimbangkan, masalah semakin rumit apabila rumah tangga mula bergolak sehingga membawa kepada perceraian atau kematian suami.

Ironinya, pasangan pada awalnya memilih jalan mudah untuk berkahwin mungkin berdepan proses lebih panjang apabila mahu berpisah sekiranya status perkahwinan belum disahkan.

Pasangan perlu mendapatkan pengesahan pernikahan terlebih dahulu sebelum urusan perceraian diselesaikan melalui Mahkamah Syariah.

Dalam keadaan itu, isteri berisiko berdepan kesukaran menuntut nafkah, harta sepencarian serta hak berkaitan anak terutama jika suami enggan bekerjasama atau gagal dikesan.

Anak pula boleh terkesan apabila timbul pertikaian mengenai nafkah, hak penjagaan dan urusan lain yang memerlukan pengesahan status perkahwinan ibu bapa.

Bagi mengelakkan kegiatan sindiket pernikahan terus berleluasa, pendekatan penguatkuasaan semata-mata tidak mencukupi, sebaliknya perlu disertai pendidikan, pemantauan dan kerjasama rentas sempadan.

Antara langkah menangani isu itu termasuklah memperketat pemantauan terhadap iklan perkhidmatan pernikahan di media sosial khususnya pihak yang menawarkan pakej perkahwinan dengan jaminan urusan pantas tanpa menjelaskan prosedur dan kelayakan jurunikah.

Pihak berkuasa agama perlu mengenal pasti rangkaian ejen yang menjadi orang tengah pasangan Malaysia.

Pemantauan itu juga perlu meneliti kaedah promosi, aliran pembayaran dan pihak mengendalikan akad pernikahan.

Selain itu, kerjasama antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), jabatan agama Islam negeri serta majlis agama Islam di lima wilayah selatan Thailand perlu diperkukuh lagi.

Kerajaan juga boleh mempertimbangkan penyediaan saluran semakan rasmi bagi membolehkan pasangan mengesahkan identiti jurunikah serta status pihak menawarkan perkhidmatan pernikahan.

Hakikatnya, membanteras sindiket pernikahan bukan sekadar usaha menghalang pasangan berkahwin di luar negara tanpa mengikut prosedur, sebaliknya memastikan institusi perkahwinan tidak dijadikan ruang untuk pihak tertentu mengaut keuntungan.

Jangan kerana mahu mencari jalan mudah untuk membina rumah tangga, isteri dan anak pula terpaksa menanggung kesannya kemudian hari.

*Mohd Izzatul Izuan Tahir ialah wartawan Sinar Harian Selangor

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!