Dua lelaki tak mengaku merusuh guna pisau di kelab hiburan

Sebelum ini, tular satu kes rusuhan membabitkan beberapa kenderaan di hadapan sebuah pusat hiburan.
Sebelum ini, tular satu kes rusuhan membabitkan beberapa kenderaan di hadapan sebuah pusat hiburan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai dua penumpang dalam kenderaan kes kekecohan di depan sebuah kelab hiburan, di Jalan Klang Lama di sini, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin, atas satu pertuduhan merusuh menggunakan pisau.

Tukang gunting rambut, Agilan Gunaeegaran, 26, dan pekerja kilang, Anbu Selvam Ganesan, 19, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, S Arunjothy.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan kesalahan itu, di hadapan sebuah kelab di Jalan Klang Lama di sini, pada jam 6.20 pagi, 29 Januari lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-dua, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Vivi'Asnita Zaina'larifin tidak mencadangkan semua tertuduh diberi ikat jamin.

Bagaimanapun peguam, Varghese Onny merayu mahkamah memberikan anak guamnya ikat jamin pada kadar yang minimum.

“Agilan memperoleh pendapatan sebanyak RM1,800 sebulan sementara Anbu Selvam merupakan orang kelainan upaya mendapat gaji RM1,500,” katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Arunjothy membenarkan setiap tertuduh RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 April depan untuk sebutan semula kes.

Pada 6 Februari lalu, Sinar Harian melaporkan, seorang lelaki R Thiban Raj, 27, didenda RM1,200 oleh Mahkamah Majistret di sini, selepas mengaku terlibat dalam insiden sama, hujung bulan lalu.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, dua lagi tertuduh, S Jeevan, 19, dan pesalah muda berusia 18 tahun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!