PJRM 'Back To School': Ibu bapa tak lepas peluang beli uniform sekolah RM15

PENAMPANG - Pakaian sekolah boleh didapati dengan harga serendah RM15 menyebabkan ibu bapa tidak melepaskan peluang untuk membeli-belah di premis terpilih yang mengadakan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) 'Back To School' di daerah ini.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, harga rendah itu turut merangkumi barangan seperti alat tulis, beg, kasut dan juga pakaian sukan.
Menurut Razali Mohd Firdaus, 43, dia mengambil peluang itu untuk membeli kelengkapan persekolahan untuk empat anaknya.

"Banyak manfaat PJRM 'Back To School' ini kerana harga yang ditawarkan untuk barangan sekolah boleh dikatakan harga mampu milik untuk semua golongan.
"Kos sara hidup kini semakin tinggi ditambah lagi seperti saya yang mempunyai ramai anak, jadi bajet keseluruhan sebelum diperkenalkan harga rahmah boleh mencecah sehingga RM3,000.
"Tetapi hari ini saya dapat beli uniform sekolah tiga anak yang mana harga asal biasanya mencecah RM35, tetapi kita dapat sekitar RM15 untuk setiap seorang dan kos keseluruhan yang dikeluarkan dapat dikurangkan sehingga 15 peratus," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Ahad.
Katanya lagi, pengurangan harga itu memberi manfaat besar kepada ibu bapa kerana wang yang lebih boleh digunakan untuk membayar yuran di sekolah pula.
Sehubungan itu, Razali berharap, jualan seperti itu diteruskan untuk setiap kali musim persekolahan bermula bagi membantu meringankan beban ibu bapa terutama golongan kurang berkemampuan.

Sementara itu, suri rumah, Sharifah Sabli, 31, berkata, harga yang ditawarkan untuk barangan sekolah yang dijual di premis terpilih untuk PJRM 'Back To School' itu memudahkan ibu bapa yang sedang menyediakan alat kelengkapan persekolahan untuk anak-anak.
"Bagi saya ini sudah memudahkan kerana harga yang ditawarkan lebih murah berbanding biasa. Memandangkan kita juga akan menyambut perayaan dalam tempoh dua bulan lagi sudah tentu banyak perbelanjaan yang mahu digunakan.
"Hari ini, saya dapat belikan kasut sekolah, baju seragam dan juga alat tulis untuk anak. Biasanya barangan sekolah yang dibeli ini boleh mencecah lebih RM200 tetapi kali ini hanya sekitar RM150 sahaja untuk seorang anak," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
