Pergaduhan dua pelancong asing selesai - Polis

Pergaduhan dua pelancong asing di Persiaran Karpal Singh pada awal Isnin diklasifikasikan sebagai selesai selepas pengadu menarik semula laporan polis. Gambar kecil: Abdul Rozak
Pergaduhan dua pelancong asing di Persiaran Karpal Singh pada awal Isnin diklasifikasikan sebagai selesai selepas pengadu menarik semula laporan polis. Gambar kecil: Abdul Rozak
A
A
A

GEORGE TOWN - Polis mengesahkan kes perselisihan faham membabitkan dua pelancong asing di Persiaran Karpal Singh di sini awal pagi Isnin telah diselesaikan secara baik tanpa sebarang tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisoner Abdul Rozak Muhammad berkata, polis menerima laporan daripada seorang wanita warga asing berusia 33 tahun berhubung kes tersebut pada jam 3.45 pagi.

Menurutnya, wanita itu mendakwa berlaku pertelingkahan antara dia dan seorang rakan lelaki dari negara sama kira-kira jam 12.30 tengah malam.

"Difahamkan, insiden itu berjaya dileraikan oleh rakan-rakan mereka sebelum kedua-dua individu berkenaan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk tindakan lanjut.

“Hasil siasatan mendapati kes ini diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut selepas rakan lelaki memohon maaf kepada pengadu," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah beliau, wanita tersebut turut menarik semula laporan dan memaafkan rakannya itu serta tidak mahu meneruskan kes tersebut.

"Sehubungan itu, polis menasihati orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan berita palsu berhubung insiden berkenaan yang boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat, termasuk pelancong asing," katanya.

Terdahulu, tular beberapa keping gambar dan klip video berdurasi 33 saat memaparkan kejadian seorang lelaki sedang bergaduh dengan seorang wanita di sebuah kedai serbaneka.

Kejadian itu turut melibatkan orang awam yang dilihat cuba meleraikan pertengkaran tersebut.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!