[VIDEO] Megat Mayusif pakar pembuat wau sobek
TUMPAT - Kesukaran mencari pelapis pembuat wau sobek antara faktor Megat Mayusif Mat Yusoff, 43, masih berusaha membuat produk itu selepas lebih 20 tahun menceburi diri dalam bidang berkenaan.
Menurut Megat Mayusif, wau itu sebenarnya dikenali dalam kalangan pelancong dan peminat wau dari luar negara sehingga ada sanggup datang ke negeri ini untuk mempelajari kaedah pembuatannya.
Katanya, sobek merupakan istilah Kelantan bermaksud perhiasan, persolekan untuk mencantikkan badan wau yang kebanyakannya menggunakan motif pokok tumbuhan menjalar bagi membentuk awan larat.

"Antara tumbuhan popular untuk ukiran wau sobek ialah tembikai, peria dan labu," katanya ketika ditemui di galeri itu pada Isnin.
Katanya, proses mengukir memerlukan tahap kesabaran tinggi berikutan beberapa lapisan kertas diperlukan mengikut kesesuaian warna berdasarkan pilihan corak.
Bapa kepada dua anak berusia 10 dan 17 tahun itu berkata, wau sobek diminati pencinta wau atau kraf dari Australia, Indonesia, Cuba dan Singapura.
Berkongsi mengenai ketahanan wau sobek, Megat Mayusif memberitahu, buluh duri digunakan bagi membolehkan wau disimpan lebih lama sehingga lebih 10 tahun berbanding buluh jenis lain.

"Saya mencari sendiri buluh duri di hutan berdekatan kampung dan kebiasaannya akan masuk ke hutan dua kali setahun," katanya yang juga Penghulu Mukim Kampung Laut.
Bagaimanapun katanya, wau itu kini hanya dijadikan hiasan dan tidak banyak untuk dimainkan kerana perubahan zaman.
"Saya masih menyimpan wau sobek motif ketam guri dibuat lebih 22 tahun lalu, namun setakat ini tidak berhasrat menjualnya walaupun ada individu menawarkan harga tinggi.
"Saya membuat sepasang wau sobek yang tidak menggunakan motif tumbuhan menjalar kerana menyahut cabaran rakan tetapi tidak menyangka mendapat sambutan.
"Satu daripadanya sudah dijual pada harga RM3,500 beberapa tahun lalu," katanya.

Jelas beliau, tidak ramai golongan muda mahu membuat wau sobek kerana dikatakan rumit dan memerlukan kesabaran tinggi.
Megat Mayusif berkata, ramai belia datang belajar dan cuba membuat wau sobek tetapi tidak mampu meneruskannya kerana sukar.
"Kita tidak boleh memaksa mereka mengukir wau kerana teknik ini memerlukan ketelitian kerana coraknya sangat halus.
"Saya berharap wau sobek akan terus diminati dan lebih ramai anak muda mempelajari seni itu supaya dapat memartabatkan warisan Kelantan di peringkat antarabangsa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
