Penduduk rasai gegaran 15 saat gempa bumi lemah di Kota Marudu

KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Gempa bumi lemah bermagnitud 3.8 skala Richter dilaporkan berlaku di Kota Marudu pada pagi Isnin.
Kejadian direkodkan berlaku pada jam 10.39 pagi dan gegaran mungkin dirasai di sekitar daerah tersebut.
Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), pusat gempa itu di kedudukan 6.3 darjah utara dan 116.8 darjah timur dengan kedalaman 10 kilometer (km) iaitu di sekitar 27 km selatan dari Kota Marudu.
MetMalaysia akan terus memantau keadaan tersebut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Marudu, Mohd Hasbi Hajat berkata, pihaknya kini sedang melakukan pemantauan di premis dan bangunan di sekitar daerah tersebut.
"Tiada panggilan diterima namun memang berlaku kejadian gempa bumi tersebut dan pemantauan sedang dilakukan.
"Di bangunan balai bomba tidak dirasai gegaran namun terdapat maklumat orang ramai mengatakan ada yang merasai gegaran sekitar 15 saat ketika kejadian berlaku," katanya.
Sementara itu, Pengarah Pusat Kajian Bencana (NDRC) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Ts Dr Carolyn Melissa Payus berkata, gempa bumi di Kota Marudu berlaku disebabkan daerah itu berada di garis seismik tempatan Ranau.
Menurutnya, kejadian gempa bumi di Kota Marudu pernah direkodkan sebelum ini pada tahun 2020 dan ia boleh berlaku pada bila-bila masa.
"Kita ada beberapa tempat dari Ranau seperti Kota Marudu dan juga Kudat. Untuk di Kota Marudu, pernah direkodkan kejadian gempa bumi lemah bermagnitud 3.3 skala Ritcher pada tahun 2020.
"Kejadian gempa bumi ini memang boleh berlaku bila-bila masa sahaja dan sudah menjadi kebiasaannya jika ia berhampiran dengan garis seismik tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Untuk rekod, daerah Ranau pada 29 Januari lalu merekodkan kejadian gempa bumi lemah bermagnitud 2.9 pada skala Ritcher dan gegaran dikatakan turut dirasai di daerah itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
