Lebih muatan, tak pakai tali pinggang keledar catat saman tertinggi di Kelantan

PASIR PUTEH - Lebih muatan dan tidak pakali tali pinggang keledar antara sembilan kesalahan utama yang merekodkan saman tertinggi di Kelantan sepanjang Operasi Khas Tahun Baharu Cina 2025.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, sebanyak 147 saman dikeluarkan untuk kesalahan lebih muatan, manakala 52 saman tidak memakai tali pinggang keledar.
"Tujuh kesalahan utama lain ialah memandu melebihi had laju, tidak mematuhi isyarat lampu merah dan memotong di garisan berkembar.
"Selain itu, memandu di lorong kecemasan, memotong barisan, guna telefon bimbit, tidak pakai tali pinggang atau topi keledar serta kenderaan berat di lorong laju dan lebih muatan antara kesalahan yang direkodkan," katanya pada sidang media semasa Penutup Operasi Khas Tahun Baharu Cina yang diadakan di JPJ Bukit Jawa di sini pada Ahad malam.

Menurut beliau, sepanjang operasi yang bermula 20 Januari hingga Ahad, JPJ telah menggerakkan anggota dengan berpakaian biasa dan turun di laluan utama dengan mengekori pesalah-pesalah trafik menggunakan kenderaan tanpa logo serta alat perakam.
Ujarnya, sebanyak 16,577 kenderaan diperiksa dan 3,475 daripadanya telah diambil tindakan.
Mohd Misuari memberitahu, pada masa sama JPJ Kelantan mengeluarkan 6,434 notis, dan 5,158 saman dengan 26 kenderaan telah disita di bawah Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta lima lori (Seksyen 80 (1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010).
Kata beliau, sebanyak 485 notis arah periksa 61(1) dikeluarkan, 542 notis larangan penggunaan kenderaan PG1 dan lain-lain notis (223).
"Sepanjang operasi ini dijalankan bermula 20 Januari hingga Ahad, seorang pemandu bas dikesan positif ujian air kencing dan telah diambil tindakan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan.
"Lelaki berusia lingkungan 30-an itu merupakan pemandu yang ditugaskan membawa penumpang dari Kota Bharu ke Johor Bharu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

